Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di negeri ini. Sempena tahun ular air pada kali, diharapkan supaya perniagaan mereka bertambah maju pada masa akan datang, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
“Selain itu, saya juga melihat kemeriahan sambutan pada tahun ini lebih berganda berbanding tahun sebelumnya dan ini membuktikan kejayaan kepada usaha kerajaan untuk menyemarakkan perpaduan serta persefahaman di kalangan semua masyarakat di negeri dan negara ini amnya.
“Saya juga yakin kedudukan ekonomi bertambah baik dan masyarakat Tionghua di negeri ini akan terus memberi sokongan kepada pembangunan negeri serta kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Walk About Kampung Cina bersempena Tahun Baru Cina 2013 di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.