Halaman

14 February 2013

TSG sasar duduki podium pertama

 Oleh: Suriati Ali 



 Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mensasarkan sekurang-kurangnya mampu menaiki podium tempat pertama pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.



Kejohanan yang akan berlangsung pada 21 Februari hingga 2 Mac 2013 itu menampilkan tujuh pelumba profesional tempatan yang diberi kepercayan untuk menduduki tangga terbaik pada kejohanan berprestij itu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri percaya semua pelumba tempatan yang dipertaruhkan itu mampu bersaing setaraf pelumba asing.

“Kita mempunyai rekod tersendiri dengan mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, antaranya berupaya menduduki tangga pertama daripada 68 pasukan sehingga menjadikan Malaysia berada di kedudukan ke 3 daripada 18 negara.

 “TSG juga telah menyertai 20 kejohanan di bawah kelendar Union Cycliste International (UCI) di mana 16 kejohanan di luar negara dan empat dalam negara , manakala lapan kejohanan di bawah kalendar Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang akan diadakan dalam negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perkenalan Tujuh Pelumba TSG 2013, di Pentas Budaya, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Pelumba-pelumba TSG yang diperkenalkan itu adalah Mohd Harrif Salleh,25, Mohd Shahrul Mat Amin, 24, Mohammad Saufi Mat Senan, 23, Mohd Nor Umardi Rosdi, 27, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, 21, Mohd Zamri Salleh, 30 dan Mohd Saiful Anuar Aziz, 27.

Pada majlis sama, Menteri Besar bersama tertamu kehormat dan lebih 200 ahli persatuan dan kelab-kelab berbasikal negeri turut menyertai Program Kayuhan Malam bertujuan mempromosi penganjuran LTdL 2013.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu TSG telah menjalani pelbagai latihana insentuf di Terengganu dan mengadakan kem di sekitar laluan LTdL sebagai persediaan untuk menghadapi saingan LTdL.

 












Tambahan tanah 240 hektar bangunkan Eastern Steel

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju meluluskan tanah tambahan seluas 240 hektar bagi membangunkan projek kilang besi, Eastern Steel di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan itu menjadikan keseluruhan tanah bagi projek pembangunan kilang fasa kedua yang dijangka siap pada Oktober ini berjumlah 480 hektar.

“Sekarang ini bagi fasa pertama sedang berjalan 240 hektar melibatkan kerja memasang cerucuk besi bangunan serta tambahan lagi 240 hektar yang menjadikan jumlah keseluruhan 480 hektar.

“Projek pembinaan ini melibatkan beberapa peringkat dengan pelaburan asal dicadangkan berjumlah RM3.8 bilion, “katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar menjelaskan yang beliau turut meninjau perkembangan projek itu beberapa hari lalu dan melihat kerja-kerja memasang struktur bangunan kilang itu sedang giat dilaksanakan.

Kilang yang dibangunkan secara berperingkat menerusi syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd dan China Shougang Group dijangka berupaya menghasilkan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik keluli.

Penghasilan keluli berkualiti tinggi mengguna teknologi relau bagas dijangka mampu menampung pasaran-pasaran hiliran dan juga serantau.


Polis Besut lancar “OPS Selamat II” sempena Tahun Baru Cina



Oleh: Mohammad Ishak 

Polis Daerah Besut dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Rela melancarkan OPS Selamat II sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Operasi bermula 3 Februari dan berakhir 17 Februari ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan jenayah di daerah itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, ASP Noor Zaini Mohd Noor berkata, menerusi program bersepadu itu pihaknya memberi tumpuan kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar dan perumahan.

Katanya, pihaknya juga turut mengedarkan risalah mengenai kaedah menjaga keselamatan jalan raya serta pencegahan jenayah.

Menurutnya,, anggota polis dan penguatkuasa lain akan berada di beberapa lokasi terpilih dan membuat pemantauan terhadap pergerakan orang ramai terutama di kawasan tumpiuan seperti bandar.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi diadakan polis berjaya mengekang kes kemalangan maut di daerah itu sambil menyifatkan ia sesuatu yang menarik dan perlu dikekalkan.

Beliau berharap, semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi arahan dan papan tanda yang diletakkan di laluan utama bagi mengelak berlakunya kejadian kemalangan yang membabitkan nyawa.

13 February 2013

10,000 penduduk Besut akan sertai program gotong royong perdana

Oleh: Mohammad Ishak 

Kira-kira 10,000 penduduk di daerah Besut dijangka menyertai Program Gotong Royong Perdana Daerah Besut yang akan berlangsung sehari pada 15 Februari ini.

Program membabitkan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan sukarela dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu bagi menceriakan seluruh kawasan daerah ini dengan persekitaran yang bersih.

Yang Di pertua Majlis Daerah Besut (MDB), Ibrahim Mohamad berkata, ia juga sebahagian sokongan penduduk Besut terhadap kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 yang sedang berjalan sekarang.

Katanya, sasaran program itu termasuklah pejabat kerajaan, tempat awam, kawasan perumahan, tandas, pusat pelancongan, perkampungan tradisional dan kawasan perumahan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),

Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, akan melancarkan program itu di Pantai Peranginan Air Tawar, Besut.

Katanya, semua wakil rakyat DUN dan Parlimen akan membuat pemantauan dengan helikopter sekitar daerah itu.

Beliau berkata hari gotong royong dan kebersihan itu diharap dapat membangkitkan kesedaran penduduk daerah itu dalam aspek menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

Jambatan baru Seberang Takir ditender Jun ini

Oleh: Aida Abd Rahman


Terengganu bakal memiliki sebuah jambatan moden baru bagi menghubungkan Seberang Takir ke pusat bandar tidak lama lagi berikutan projek itu bakal ditender pada Jun ini.

Projek yang dibangunkan menerusi pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dijangka akan siap dalam tempoh tiga tahun selepas penyerahan menjalankan kerja kepada pemaju terlibat dikeluarkan pada September nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jambatan yang unik kerana boleh dibuka dan ditutup sebagai laluan kapal ke muara sungai Terengganu itu menjadi laluan alternatif yang baru kepada orang ramai dari Seberang Takir untuk ke Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Jambatan itu akan menjadi jalan lingkaran kedua yang melibatkan dari Bulatan Ladang, seterusnya menghala ke muara Sungai Terengganu melalui jambatan berkenaan sampai ke Seberang Takir. Selain itu, terdapat laluan baru empat lorong yang akan dibina daripada Seberang Takir menghala ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Daripada Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan menggunakan laluan empat lorong sedia ada menghala ke Semarak, daripada Semarak terus menghala ke Jambatan Sultan Mahmud, daripada Jambatan Sultan Mahmud ke Bukit Besar, seterusnya ke Jalan Pasir Panjang diikuti ke Kediaman Seri Iman,” katanya di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Menteri Besar berkata, pembinaan jambatan itu nanti pastinya memberi keselesaan dan faedah kepada rakyat di negeri ini terutama bagi yang tinggal di utara dan selatan Kuala Terengganu untuk mengelak kesesakan menghala ke bandar Kuala Terengganu, selain mampu menjimatkan kos dan masa.

Katanya, jambatan baru itu nanti akan menjadikan Terengganu mempunyai empat jambatan semuanya, selain Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Sekati dan Jambatan Manir.

 “Projek pembinaan Jambatan Manir sedang menunggu peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk dijadikan empat lorong dan ditinggikan arasnya sebagaimana Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Pulau Sekati bagi membolehkan laluan bot,” katanya.





Bangunan canselori berharga RM20 naik imej UniSZA

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal mempunyai bangunan canselori dalam usaha pembinaan imej UniSZA baru yang dikenali pelbagai lapisan masyarakat serta dihormati cendiakawan dari dalam dan luar negara.

Naib Censelor UniSZA, Prof. Dr. Yahya Ibrahim berkata, bangunan canselori berkenaan bakal dibina dalam masa terdekat dengan anggaran kos RM20 juta.

“Kita juga sudah mengenalpasti dua kelompok bidang yang menjadi jurusan utama pengajian di UniSZA iaitu Sains Gunaan dan Sains Sosial Gunaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Lawatan dan Ucapan di universiti itu semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Haji Jailani Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

Katanya, di bawah Sains Gunaan ada Pengajian Perubatan dan Sains Pertanian manakala di bawah Sains Soasial pula Pengajian Islam dan Peradaban, Pengajian Pembangunan dan Pengajian Pengurusan.

Selain itu katanya, pihaknya sedang berusaha membuat lonjakan penambahan bilangan pelajar kepada 10,000 orang dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Pada masa sekarang kita mempunyai 7,000 pelajar dengan dua buah kampus iaitu di Gong Badak dan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, UniSZA sedang menyiapkan kertas konsep untuk membuka kampus cawangannya di Kuala Lumpur untuk memberi peluang mereka yang berada disekitar ibu negara menyambung pengajian di UniSZA.
 

ADUN TEPOH SEDIA BERDEBAT DAP GANTI PAS

OLEH: Ruslan Abdul Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Ustaz Haji Mohd. Ramli Haji Noh bersedia menyahut cabaran debat dari Pemuda Pas Terengganu.

Ketika dihubungi Teganukita, beliau berkata dia tunggu surat dari Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu dan jika Umno Negeri membenarkan debat itu, beliau sentiasa bersedia.

Beliau mengulas sebuah blog yang melaporkan Exco Dewan Pemuda Pas, Ustaz Hishamudin Karim akan mejemput Adun Tepoh itu berdebat berkaitan isu DAP ganti Pas.

Hishamudin yang berasal dari Mengabang Telipot juga Ketua Pemuda Pas Kemaman dalam sebuah blog pro pembangkang berkata, tidak ada satu pun kerusi pilihan raya di Terengganu diberikan kepada DAP, oleh itu tidak munasabah DAP ganti Pas.

Ustaz Haji Mohd. Ramli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri berkata, di Selangor walaupun kerusi Umno didapati kurang tetapi yang menguasai kerajaan itu sekarang DAP, bukannya Pas.

 

Larangan pasang bendera parti di jambatan dan bulatan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menggesa semua pemimpin dan penyokong politik supaya segera menurunkan bendera parti masing-masing yang dipasang di semua jambatan dan bulatan seluruh negeri ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengeluarkan notis amaran kepada semua parti politik di kawasan masing-masing agar tidak memasang bendera di dua lokasi berkenaan.

“PBT meminta supaya semua bendera parti politik tidak dibenarkan sama sekali dipasang di jambatan sama ada sekarang mahu pun ketika kempen pilihan raya kerana kita menerima bantahan dan rungutan daripada orang ramai di mana jika bendera itu terjatuh di jalan raya, ia boleh mengakibatkan kemalangan serta mengancam nyawa terutama kepada penunggang motosikal.

“Selain jambatan, kita juga tidak membenarkan bendera dipasang di bulatan kerana boleh menghalang dan menjejaskan pandangan pengguna jalan raya,” katanya di sidang media selepas mesyuarat mingguan exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jika gagal mematuhi arahan berkenaan, PBT akan bertindak menurun dan merampas bendera berkenaan serta boleh dikenakan denda kepada mana-mana parti politik terbabit.

“Kita ada kuasa mendenda mereka, tetapi buat permulaan kita merampas dulu bendera berkenaan. Ini kerana apa jua pemasangan di kawasan PBT perlu mendapatkan kebenaran PBT terlebih dahulu, jadi kita berhak mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar dengan amaran kita,” katanya.

Katanya, pihaknya juga kesal dengan tindakan parti pembangkang yang sewenang-wenangnya membuat pengubahsuaian pada tiang lampu di bandar ini untuk memasang bendera parti mereka sehingga mencacatkan pemandangan serta merosakkan harta benda awam.



Warga emas bersyukur terima BR1M 2.0

Oleh: Noraini Jusoh

"Saya sangat bersyukur kerana menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 lebih awal berbanding orang lain,” kata Selema Ahmad, 70.

Selema, dari Kampung Gemuroh antara salah seorang penerima BR1M 2.0 fasa pertama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang mula diagihkan, hari ini.

Warga emas yang pernah menerima BR1M pada tahun lepas itu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang sentiasa prihatin terhadap nasib warga emas sepertinya.

"Terima kasih kepada kerajaan yang cukup baik terhadap rakyatnya dan saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan ini untuk dua tahun berturut-turut.

"Wang RM500 ini akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan untuk membayar hutang,” ujarnya yang masih bekerja sebagai penoreh getah bagi menyara kehidupan.

Katanya, dia akan sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan BN dan Umno dan mengharapkan bantuan tersebut diteruskan buat masa akan datang supaya nasib warga emas sepertinya terus terbela.

Sementara itu, Ibrahim Mohd Hasan, 70, seorang peneroka dari Felda Belara pula berkata, perasaan gembiranya tidak dapat digambarkan apabila namanya tersenarai sebagai penerima BR1M 2.0 pada kali ini.

"Saya sangat gembira menerima wang tunai RM500 ini dan akan gunakan untuk membeli kelengkapan keperluan harian keluarga terutamanya bagi bulan ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN dan Umno kerana tidak pernah membezakan fahaman politik dalam menjalankan tanggungjawab membantu rakyat yang memerlukan,” kata bapa kepada enam orang anak itu lagi.

Difahamkan, selain diberikan kepada lelaki atau perempuan yang menjadi ketua isi rumah dengan jumlah pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM3000 dengan syarat telah berkahwin, serta ibu bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas juga turut mendapat keistimewaan untuk menerima BR1M berjumlah RM500.

 

MB dianggap tetamu paling istimewa

Oleh: Suriati Ali

 “Kehadiran Menteri Besar bersama rombongan untuk menjenguk suami dan anak yang terlantar sakit dianggap tetamu paling istimewa dan cukup bermakna.

 “Makna tidaknya, kunjungan itu turut memberi sumbangan wang tunai RM500 dan pelbagai barangan dapur mampu meringankan beban di mana sebelum ini hanya bergantung kepada wang sumbangan anak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Dato' Seri Haji Ahmad sentiasa prihatin dan cakna mengenai kesihatan penduduk

 “Dengan duit yang diberi itu boleh saya belanja untuk membeli ubat dan terus mendapatkan rawatan secara tradisional untuk suami dan anak ketiga saya,” katanya Minah Ahmad, 54 ketika ditemui dirumahnya, Kampung Bukit Anak Dara, Kijal, Kemaman, baru-baru ini.

Suaminya, Othman Kasim, 60 sudah lapan tahun terlantar sakit dan tidak mampu menguruskan diri. Manakala anak, Mohd Zaki Othman, 33, disahkan doktor menghidap penyakit usus, hampir dua tahun tidak mampu menjalankan sebarang pekerjaan.

Penderitaan Mohd Zaki mendapat perhatian Pegawai Perubatan Klinik Awana Kijal, Prof Dr Selvaraj Y Subramaniam turut serta dalam kunjungan itu dengan mengarahkan supaya mendapat rawatan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, 20 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kemaman dan 15 kakitangan Pusat Khimat Masyarakat DUN Kijal.

 Isteri pesakit, Rahmah Abu Bakar, 78, berkata terima kasih banyak kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri sebab sudi melawat suami, Abdul Karim Jusoh, 80 yang sudah sepuluh bulan terlantar akibat serangan strok.

 Katanya, kunjungan Dato’ Seri bersama rombongan lain cukup bermakna, selain sedikit sebanyak menghilangkan rasa sedih dengan apa yang dialami itu.

 "Segala nasihat Dato’ Seri dan doktor supaya terus tabah menjaga suami dengan memberi makanan berkhasiat, mengurut, dan tidak putus asa berdoa akan dituruti,” katanya.

 Pada hari sama, Dato’ Seri Haji Ahmad sempat meluangkan masa hampir sehari bagi melawat 11 pesakit dan uzur terlantar lain di Kampung (Kg) Darat, Kg Beris Nenas dan Kg Bukit Anak Dara, Kijal, Kemaman, dalam sempena Program Ziarah Orang Sakit,