Halaman

14 February 2013

Polis Besut lancar “OPS Selamat II” sempena Tahun Baru Cina



Oleh: Mohammad Ishak 

Polis Daerah Besut dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Rela melancarkan OPS Selamat II sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Operasi bermula 3 Februari dan berakhir 17 Februari ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan jenayah di daerah itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, ASP Noor Zaini Mohd Noor berkata, menerusi program bersepadu itu pihaknya memberi tumpuan kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar dan perumahan.

Katanya, pihaknya juga turut mengedarkan risalah mengenai kaedah menjaga keselamatan jalan raya serta pencegahan jenayah.

Menurutnya,, anggota polis dan penguatkuasa lain akan berada di beberapa lokasi terpilih dan membuat pemantauan terhadap pergerakan orang ramai terutama di kawasan tumpiuan seperti bandar.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi diadakan polis berjaya mengekang kes kemalangan maut di daerah itu sambil menyifatkan ia sesuatu yang menarik dan perlu dikekalkan.

Beliau berharap, semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi arahan dan papan tanda yang diletakkan di laluan utama bagi mengelak berlakunya kejadian kemalangan yang membabitkan nyawa.