Halaman

14 February 2013

Perubahan menyeluruh dalam tempoh lima tahun

Oleh; Esah Abdullah

“Negeri Terengganu akan mengalami perubahan secara menyeluruh dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, pelbagai pembangunan sedang dan akan dilaksana di pusat bandaraya ini termasuk bangunan 31 tingkat yang tertinggi di Pantai Timur, hotel 20 tingkat bertaraf lima bintang serta Pasar Kedai Payang empat tingkat berhawa dingin.

Selain itu katanya, beberapa sayarikat dari luar negara menyatakan persetujuan untuk melabur disini termasuk syarikat dari Korea dengan pelaburan RM6.6 bilion dan syarikat dari China dengan jumlah pelaburan RM15 bilion.

 “Majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat dari China akan diadakan pada akhir Mac depan,” katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Barisan 1Malaysia di Taman Tamadun Islam hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Haji Ahmad Maslam yang menyampaikan ceramah ‘Gagasan 1Malaysia dan Bajet 2013.

Kenamaan lain yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Pengerusi Sekretariat Himpunan Barisan 1Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Biro Tata Negara, Datuk Raja Arif Raja Ali.

Di samping itu katanya, kita juga dianugerahkan minyak dan gas, bijih besi, emas dan rezeki yang melimpah ini merupakan suatu rahmat daripada Allah swt kepada rakyat di negeri ini.

 “Pendek kata dalam tempoh lima tahun akan datang wajah Kuala Terengganu akan berubah menjadi sebuah bandaraya yang serba lengkap,” katanya di hadapan lebih 3,000 orang mewakili 240 pertubuhan buka kerajaan (NGO) di negeri ini.