Halaman

16 February 2013

Zahid Hamidi: Ahli UMNO diingat jangan ulangi perbuatan lama


Jentera BN Besut berikhrar patut kepada keputusan Pemimpin UMNO

Oleh: Mohammad Ishak

Ahli Umno akar umbi diingatkan jangan mengulangi sejarah lama dengan bertindak menutup operasi peti undi apabila mengetahui calon pilihan mereka tidak disenaraikan parti dalam pilihan raya umum ke 12.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu menyebabkan parti kehilangan lebib banyak kerusi kerana ahli protes terhadap calon lain yang dipilih oleh parti.

Katanya, perbuatan seumpama itu jika diulangi pada PRU13 ia akan merugikan parti dan membuka laluan kepada parti pembangkang.

Menurutnya, pada PRU12 ada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditutup oleh ahli Umno yang tidak puas hati dengan calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan menyebabkan kawasan terbabit kecundang dan dimenangi pembangkang.

“Jangan terlalu mengira dengan calon sebaliknya memberi kepercayaaan kepada pucuk pimpinan menentukan siapa yang layak bertanding di sesuatu kawasan,” katanya ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut di Dewan MDB Gong Kemuntong, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Bendahari Bahagian, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Pada majlis itu kira-kira 2,000 jentera parti empat peringkat diketuai Ketua Pemuda, Mahadi Musa menghadiri majlis pelancaran dan melafaz ikhrar taat setia dan menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti terutama memilih calon untuk bertanding.pada PRU13.

Ahmad Zahid kagum dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan ahli Umno Bahagian Besut yang sudah lama melengkapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.