Halaman

10 February 2013

Tahun Ular disambut meriah

Dato' Toh Chin Yaw melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.
Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 8,000 orang mengunjungi Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2013 yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Terengganu hari ini.

Penglibatan seluruh rakyat pelbagai bangsa dan keturunan termasuk Melayu dan India tambah menceriakan suasana dengan menampilkan tarian singa mengiringi ketibaan para tetamu di pintu masuk ke dewan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, sambutan masyarakat tahun ini amat luar biasa.

“Semua masyarakat tanpa mengenal usia dan fahaman politik bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada Tahun Ular dalam suasana penuh harmoni,” katanya pada sidang media di majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.


Hadir sama Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Farid Wan Salleh; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh dan Adun Ladang Dato’ Haji Tengku Hasan Tengku Omar serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, suasana ini mengambarkan semangat perpaduan dan keharmonian kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan tahun ular tahun ini termasuklah pertandingan menghias rumah kedai, karnival, sukaneka serta pameraan motor dan kereta klasik.