Halaman

14 February 2013

Pembangkang tidak telus : Pengerusi BNBBC

Oleh: Aida Abd Rahman

Saya khuatir Pakatan Rakyat (PR) menggunakan segala helah dan madah bagi menidakkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengurus proses pilihan raya, kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Dato’ Rosol Wahid.

“Saya yakin dan percaya, SPR akan dipersalahkan sekali lagi jika kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak menang dengan majoriti mudah dan dapat mengekalkan mandat pemerintahan.

 “Namun, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak dipertikaikan kenapa mereka boleh memerintah? Inilah sikap dan sifat pembangkang di Malaysia yang menjadi pembangkang yang tidak telus kepada rakyat bukan disifatkan `check and balance’ kepada kerajaan memerintah,” ulas Dato’ Rosol menerusi laman blog milik beliau, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Ajil berkata rakyat Malaysia kini dilihat lebih matang dalam memilih yang mana permata dan kaca ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Katanya, PRU13 menjadi medan yang sengit buat kerajaan yang memerintah mengekalkan mandat, manakala pembangkang pastinya akan meneruskan usaha dan melakukan pelbagai cara bagi merampas tampuk pemerintahan.

Menurut beliau, jika BN kekal mentadbir negara menggambarkan bahawa PR tidak akan mendapat tempat di hati rakyat pada masa-masa akan datang dan pada masa yang sama, mereka akan berusaha mengadakan segala tohmahan bagi menidakkan keputusan rakyat dalam PRU13 kelak.

Selain itu, menurut beliau Dato Sri Mohd Najib juga sudah melakukan pelbagai pembaharuan dan transformasi dalam aspek politik, pentadbiran dan ekonomi termasuk memperkenalkan semula konsep 1Malaysia.

“ Konsep 1Malaysia sebenarnya bermula sejak negara mula mencapai kemerdekaan. Apabila diimbas kembali detik-detik negara mencapai kemerdekaan, tiga kaum utama negara bersepakat menerima segala perjanjian bagi menerima kaum Cina dan India sebagai salah satu komuniti dalam Malaysia. Melayu,Cina dan India sudah sekian lama bersatu- padu di bawah Malaysia.

“Malangnya, perasaan hasad dengki dan api kebencian yang tertanam segelintir kaum dalam Melayu, Cina dan India maka terbentuknya parti-parti serpihan pembangkang,” katanya.

Beliau menambah, sememangnya diakui bahawa perlu ada pembangkang di dalam sesebuah kerajaan sebagai `check and balance’.

Bagaimanapun, pembangkang langsung tidak menghargai segala kebaikan yang dilaksanakan Kerajaan BN, malah mengkritik secara membabi-buta tanpa memperincikan kesan positif setiap dasar yang dilaksanakan itu.

 “Saya percaya, tidak semua rakyat Malaysia ingin melihat kekacauan dan rusuhan kaum terjadi sekali lagi di Malaysia.

Oleh sebab itu, perpaduan tiga kaum utama di Malaysia amat penting. Bukan disalahguna oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan mempunyai agenda politik serta ingin melihat kuasa tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap keamanan mahu pun kedamaian yang sedia ada,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata `Arab Spring’ tidak akan terjadi di negara ini kerana menyifatkan suasana di Malaysia jauh berbeza dengan masyarakat Timur Tengah.

Rakyat Malaysia menurut Dato’ Rosol, lebih matang dan bijak memilih yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat serta penukaran rakyat secara Arab Spring tidak akan terjadi kecuali di kalangan mereka yang tamak haloba dan tidak mampu menerima kenyataan hasil keputusan rakyat dalam pilihan raya.