Halaman

12 February 2013

Kerajaan hantar 800 imam dan pengerusi JKKK/JKKP tunai haji tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan menghantar 800 orang imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP) seluruh negara untuk menunaikan fardu haji ke Makah tahun ini.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Haji Jailani Ngah (gambar) berkata, jumlah tersebut termasuklah 400 imam dan 400 lagi ketua-ketua kampung termasuk dari negeri di bawah pemerintahan pembangkang yang belum pernah menunaikan haji.

“Setakat ini senarai nama imam dan ketua kampung yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah itu sudah diterima dan surat tawaran kepada mereka akan dilakukan pada penghujung bulan ini atau awal Mac depan,” katanya dalam sidang media di Majlis Lawatan dan Ucapan bersama Pensyarah,Kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB haji Muhammad Ramli Noh dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim.

 Selain itu beliau turut membuat tawaran menunaikan haji tahun kepada Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tiga universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan UniSZA.

 “ Kerajaan amat menghargai peranan MPP dalam menyatupadukan pelajar, menjalankan aktiviti kebajikan serta menaikkan imej universiti,” katanya.

Dato’ Haji Jailani juga turut membuat tawaran yang sama kepada penyarah di UniSZA dan menyerahkan kepada Naib Canselor untuk memilih salah seorang kakitangannya yang belum pernah menunaikan Rukun Islam Kelima.

Pada majlis yang sama beliau turut menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada Tabung Kebajikan UniSZA sambil berharap UniSZA mampu bergerak bersama arus pembangunan negara.