Halaman

13 February 2013

Larangan pasang bendera parti di jambatan dan bulatan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menggesa semua pemimpin dan penyokong politik supaya segera menurunkan bendera parti masing-masing yang dipasang di semua jambatan dan bulatan seluruh negeri ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengeluarkan notis amaran kepada semua parti politik di kawasan masing-masing agar tidak memasang bendera di dua lokasi berkenaan.

“PBT meminta supaya semua bendera parti politik tidak dibenarkan sama sekali dipasang di jambatan sama ada sekarang mahu pun ketika kempen pilihan raya kerana kita menerima bantahan dan rungutan daripada orang ramai di mana jika bendera itu terjatuh di jalan raya, ia boleh mengakibatkan kemalangan serta mengancam nyawa terutama kepada penunggang motosikal.

“Selain jambatan, kita juga tidak membenarkan bendera dipasang di bulatan kerana boleh menghalang dan menjejaskan pandangan pengguna jalan raya,” katanya di sidang media selepas mesyuarat mingguan exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jika gagal mematuhi arahan berkenaan, PBT akan bertindak menurun dan merampas bendera berkenaan serta boleh dikenakan denda kepada mana-mana parti politik terbabit.

“Kita ada kuasa mendenda mereka, tetapi buat permulaan kita merampas dulu bendera berkenaan. Ini kerana apa jua pemasangan di kawasan PBT perlu mendapatkan kebenaran PBT terlebih dahulu, jadi kita berhak mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar dengan amaran kita,” katanya.

Katanya, pihaknya juga kesal dengan tindakan parti pembangkang yang sewenang-wenangnya membuat pengubahsuaian pada tiang lampu di bandar ini untuk memasang bendera parti mereka sehingga mencacatkan pemandangan serta merosakkan harta benda awam.