Halaman

11 February 2013

Peranan jentera JR penting

Oleh: Noraini Jusoh

Peranan jentera Jalinan Rakyat (JR) di kalangan ahli wanita Umno sangat penting dalam memastikan pengundi menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamat berkata, Terengganu mempunyai kira-kira 18,000 jentera JR.

"Peranan mereka adalah untuk mendekati pengundi di mana seorang ahli wanita Umno yang bertindak sebagai JR akan menjaga sepuluh buah rumah yang berdekatan dengan rumahnya.

"Semua yang layak mengundi dalam rumah di bawah jagaannya menjadi tanggungjawab JR berkenaan untuk memastikan segalanya berjalan lancar contohnya seperti pendaftaran pengundi terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Pensijilan ISO 9001:2008 di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baru-baru ini.

Katanya, selain dari tugas tersebut jentera JR juga berperanan mengenalpasti setiap permasalahan yang dihadapi pengundi di bawah jagaannya dan sekiranya ada apa-apa masalah, mereka akan melaporkan perkara tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai siapa calon yang akan bertanding pada PRU-13 nanti, katanya telah menjadi pendirian wanita untuk akur kepada siapa juga calon yang dipilih.

"Cuma harapan saya agar calon yang terpilih akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” katanya.