Halaman

15 February 2013

UniSZA bakal menjadi universiti Islam ketiga negara

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak bakal diangkat menjadi universiti Islam ketiga di negara ini selepas Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Dato’ Haji Jailani Ngah berkata, memandangkan tidak ada lagi universiti Islam di Pantai Timur, hanya ada cawangan UIA di Kuantan Pahang.

“Setakat ini perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjalan lancar dan berharap ia akan menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, UniSZA memang dikenali sebagai sebuah universiti Islam yang menawarkan pelbagai kursus berkaitan Islam dan sudah menjadi sebutan sejak diawal operasinya dengan nama Kolej Sultan Zainal Abidin (Kusza) lagi.

“Kini sudah sampai masanya untuk dinaiktaraf ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, dari segi kemudahan UniSZA tidak ada masalah kerana sudah mempunyai personaliti yang cukup hebat tinggal lagi pengumuman mengenainya sahaja yang mungkin akan dibuat menteri KPT sendiri.

“Untuk megekalkan identiti Islam yang sekian lama menjadi sebutan, nama UniSZA akan dikekalkan walaupun sudah bertukar taraf nanti,” katanya.

Katanya, pelbagai faktor yang boleh mengaitkan university ini sebagai sebuah universiti Islam biarpun tidak ada nama khusus (Islam) kerana pengajian yang ditawarkan di sini menjurus ke arah itu.