Halaman

11 February 2013

RM2 bilion naiktaraf landasan kereta api

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat Terengganu bakal menerima perkhidmatan kereta api laju sebagai altenatif pengangkutan awam untuk ke beberapa destinasi di negara ini apabila projek menaiktaraf landasan diluluskan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindistrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, projek menaiktaraf landasan sudah diluluskan dan kini dalam proses kajian dan reka bentuk.

“Projek berkenaan dianggarkan menelan kos hampir RM2 bilion,” katanya dalam sidang media di majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu semalam..

Katanya,setakat ini kita mendapat kelulusan untuk menyambung dan melebarkan landasan dari Pelabuhan Kemaman terus ke Bukit Besi.

Menurutnya landasan asal dari Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan ke Kemaman dan Kerteh dikhaskan untuk muatan kargo sahaja.

Katanya, usaha menaiktaraf landasan termasuk melebarkannya akan disambung ke Bukit Besi ke Chabang Kerteh seterusnya ke Teluk Kalong, ke Pelabuhan Kemaman, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

“Projek ini juga akan disesuaikan dengan teknologi terkini, iaitu di samping untuk kegunaan pengangkutan kargo juga untuk pengangkutan awam,” katanya.

Katanya projek ini diharapkan berterusan ke laluan Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan terus ke Kuala Lumpur yang akan menjadikan satu sistem pengangkutan lengkap dan menyumbang dalam pembangunan aktiviti industri di sini.