Halaman

11 February 2013

PRU13 : 342 PDM bersedia

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua 342 pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh Terengganu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, kata Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan.

“Umno negeri sudah menjalankan persiapan rapi sejak tahun lalu termasuk memastikan keperluan logistik dan peralatan kempen mencukupi sepanjang PRU13 nanti.

"Malah, simulasi pilihan raya sudah pun diadakan secara manual dan dalam talian bagi menguji tahap persediaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki supaya persiapan lancar dan mantap. Sehingga kini, hanya menunggu senarai calon dan masa untuk memastikan BN menang besar di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita kenalpasti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, baru-baru ini.

Datuk Rosli yang juga Ketua Perhubungan Umno Bahagian Dungun berkata Umno Terengganu yakin dapat menarik sokongan akar umbi termasuk pengundi atas pagar berikutan pelbagai pakej Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang memberi manfaat kepada rakyat negara ini .

Katanya lagi, Terengganu dianggap negeri yang unik kerana melaksanakan pelbagai program bantuan untuk kebajikan rakyat termasuk Dana Khas Raya, Dana Perubatan Sosial dan Tabung Darul Iman yang menjadi faktor kekuatan BN di negeri itu.

"Kemenangan itu juga berasaskan kepada situasi politik semasa di peringkat nasional ketika ini berada dalam keadaan sangat baik berikutan pihak pembangkang ketandusan isu, malah kerapuhan pakatan parti pembangkang juga semakin terserlah hari demi hari.

"Rakyat semakin bijak menilai parti manakah yang benar-benar membantu rakyat dan parti mana yang hanya pandai menabur janji, namun tidak pernah ditepati," katanya.

Selain itu, kecenderungan pengundi muda untuk menggunakan media baru adalah perkembangan baik untuk BN kerana kumpulan khas yang terdiri daripada golongan muda boleh digerakkan untuk mendekati dan memberi penerangan kepada generasi muda lain melalui medium itu.