Halaman

23 February 2013

Kunjungan PM ke Pasar Payang disambut meriah

Dato' Seri Mohd Najib melambai tangan ke arah peniaga Pasar Kedai Payang.
Oleh: Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi hari ini disambut ribuan orang ramai dalam suasana meriah.


Turut mengiringi beliau Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud untuk bertemu dan beramah mesra dengan peniaga di Pasar Payang.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri dan Menteri Besar bersama isteri masing-masing menaiki beca berhias untuk bersarapan pagi bersama rakyat di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Sepanjang perjalanan rombongan Perdana Menteri ke perhentian bas diiringi Pemuda Umno yang membawa bendera parti serta orang ramai.

Perdana Menteri dan Menteri Besar meluangkan masa lebih kurang setengah jam bersarapan pagi bersama orang ramai sambil beramah mesra dengan peniaga di situ.

Beliau kemudian bergerak ke tapak pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu dengan menaiki kereta.

 

Kami bangga dengan PM

Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

WAN ROSLI
Kunjungan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mencetuskan perasaan yang sukar digambarkan oleh para peniaga di Pasar Payang dan peniaga di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (PBMBKT) pagi ini.

PUAN FAEZAH
 “Kedai saya laris semacam sejak awal pagi kerana orang ramai berpusu datang untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara,” kata Wan Rosli Wan Ismail, 56 peniaga kedai makan di PBMBKT .

Beliau yang dibantu isteri Puan Faezah Awang, 51, berasal dari Kampung Pasir Tinggi, Bukit Payong melahirkan rasa gembira kerana pertama kali bertemu secara dekat dengan Perdana Menteri yang berjiwa rakyat.

KAMARIAH
Bagi Kamariah Ghani, 48, pertemuan ini merupakan kali kedua beliau bertemu secara dekat dengan PM, pertama ketika PM ke negeri ini tidak lama dulu.

Beliau yang tinggal di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu menjalankan peniagaan makanan ringan sejak 10 tahun lalu merupakan orang kelainan upaya (OKU) turut melahirkan rasa seronok kerana sempat berbual mesra dengan PM yang singgah digerainya.

WAN MARZUKI
Encik Wan Marzuki Wan Shafie yang menjual barangan runcit juga gembira menerima kunjungan Perdana Menteri dan isteri serta beramah mesra dengan peniaga di situ.

“Kesediaan PM turun ke bawah bertemu masyarakat tempatan mengambarkan sikap kesederhanaan beliau yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat,” katanya.

AHMAD SHUKRI
Bagi Ahmad Shukri Abdullah,48, lawatan PM ke negeri ini serta kunjungan ke Pasar Payang mampu merapatkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin atasan.

MOHD NAJIB
“Saya yakin dengan kunjungan seumpama ini, rakyat merasakan mereka dihargai dan disayangi oleh pemimpin-pemimpin kita,” katanya yang berniaga keropok di Pasar Payang.

 Peniaga pakaian, Encik Mohd Najib Zakaria, 42, melahirkan rasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan pemimpin nombor satu negara itu yang sudi mendekati golongan peniaga serta bertanya khabar.

“Saya gembira dan percaya semua orang seronok dapat jumpa dan bersalam dengan PM yang banyak memberi motivasi kepada golongan peniaga selama ini,” katanya.

RAMLI 
Encik Ramli Mohamad, 48, pula sanggup datang dari Dungun semata-mata kerana ingin bertemu mata dengan PM secara dekat.

 “Saya sangat berbesar hati, dapat bertemu dan bersalam dengan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat serta berani melakukan perubahan demi kesejahteraan rakyat jelata,” katanya.



 

Pas dok rok perintah Terengganu – PM

Perdana Menteri ketika bertanya kepada pengayuh beca
mengenai kegagalan Pas melakasanakan tanggungjawab
kepada rakyat.
Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman, Esah Abdullah, Suriati Ali dan Noraini Jusoh 

Pas dok rok perintah Terengganu kerana pemimpin parti itu hanya pandai bercakap, tetapi tidak melakukan apa-apa program untuk kepentingan rakyat negeri ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata hasil tinjauan pendapat beliau di kalangan pengayuh beca di negeri ini, mereka memberitahu Pas gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan ketika memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.

Perdana Menteri bertanyakan kepada pengayuh beca yang membawa beliau ke Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, pagi ini mengenai Pas dan jawapan diberi ialah “Pas mengarut”.

Kira-kira 60,000 rakyat Terengganbu hadir memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional pada pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.
“Saya tanya dia (pengayuh beca) kenapa Pas mengarut, dia jawab “Pas pandai cakap saja, buat dok”. Saya tanya lagi, dulu Pas perintah macam mana, dia jawab “Pas habok tadok (tidak buat apa-apa)”. Tukang kayuh beca tadi kata bukan dia saja cakap begitu, tetapi rakan-rakan dia pun cakap begitu juga,” Dato’ Seri Mohd Najib ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shanbandar, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putara Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.


Kira-kira 60,000 orang membanjiri dataran berkenaan sejak awal pagi bagi mendengar amanat Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Perdana Menteri menegaskan hanya BN yang mampu memerintah negeri Terengganu dan membela nasib rakyat tempaatan.

“Saya yakin dan percaya bumi Terengganu akan kekal kepada BN pada pilihan raya kali ini,” katanya diringi tepukan gemuruh pelbagai lapisan masyarakat dan serta penduduk negeri ini yang berbilang bangsa yang hadir bagi memberi sokongan kepada Kerajaan BN dan Perdana Menteri.


Dato’ Seri Mohd Najib berkata, Terengganu semakin maju di bawah pemerintah Kerajaan BN dan bermacam-macam program, termasuk menyediakan kediaman lebih selesa dilaksanakan bagi kemudahan rakyat.

“Tadi semasa dalam kereta Menteri Besar kata 10,000 buah rumah dibina di Terengganu dalam tempoh empat tahun lalu. Sebanyak 8,000 rumah sudah siap dan 2,000 unit lagi akan siap tidak lama lagi,” katanya.

TERKINI: Sekitar Lawatan Kerja Perdana Menteri Ke Kuala Terengganu

Perdana Menteri tiba di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan peniaga.


Perdana Menteri menaiki beca roda tiga dari Pasar Payang ke Perhentian Bas MPKT untuk makan pagi bersama rakyat

Dato' Seri Mohd Najib bersama  Menteri Besar Terengganu dan pemimpin bersarapan pagi bersama rakyat di Hentian Bas MBKT.

Peteh sasar 500 peserta menjelang 2013

Oleh: Suriati Ali

 Akademi Bolasepak Peteh Kids Terengganu (Peteh Kids) mensasarkan 500 peserta menjelang penghujung 2013 dan akan diperkembangkan ke setiap daerah dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis muda khususnya bagi pasukan bola sepak di negeri ini.



 Pengarahnya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata usaha yang dilakukan itu mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya daripada PBSNT sejajar dengan hasrat kerajaan egeri yang ingin menjadikan Terengganu sebagai pengeluar bakat sukan negara.

 “Selepas ini, mereka (peserta) yang berbakat dan memiliki potensi dalam sukan ini akan dihantar ke akademi MY Kid Negeri untuk digilap seterusnya ke peringkat nasional.

“Siapa tahu dalam tempoh 10 tahun akan datang ada dalam kalangan ahli Peteh Kids ini bakal mengharumkan nama Terengganu dan negara dalam sukan bola sepak,” katanya.

Difahamkan, Peteh Kids di bawah kendalian jurulatih Mohd Shafie Pak ini melibatkan penyertaan daripada beberapa daerah antaranya Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dengan yuran keahlian sebanyak RM100 serta RM35 setiap bulan .

 Bermula dengan keahlian seramai 50 peserta pada April tahun lalu, kini ahli Akademi Bolasepak Peteh Kids Terengganu telah menjangkau lebih 200 orang dalam tempoh hampir setahun penubuhannya.

“Peningkatan melebih 200 peratus itu membuktikan perkembangan positif dalam pembangunan sukan bola sepak terutamanya melibatkan kanak-kanak di negeri ini.

 “Kesedaran itu timbul apabila ibu bapa kini mula menyedari bahawa bidang sukan bukan sahaja mampu menjadikan anak-anak mereka aktif dan cergas di sekolah malah boleh dijadikan sebagai kerjaya pada masa akan dating,” katanya.

Katanya, penubuhan Peteh Kids ini merupakan inisiatif kami dalam memberikan bimbingan kepada kanak-kanak yang cenderong kepada sukan bola sepak untuk diketengahkan bakat mereka.

 “Buat masa ini kita mempunyai lebih 200 peserta melibatkan kanak-kanak sekolah rendah yang berumur antara 6 hingga 11 tahun dan mereka akan didedahkan dengan latihan asas bola sepak di bawah bimbingan jurulatih yang bertauliah,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Akademi Bolasepak Peteh Kids yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di padang Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh, Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise (Kopi Super Jantan), Mohd Zulkifli Harun selaku penaja rasmi Peteh Kids dan pengurusan serta pemain pasukan Terengganu.

 




Program KJK pupuk semangat perpaduan

Oleh: Noraini Jusoh

Program Kenali Jiran Kita (KJK) anjuran Jabatan Penerangan peringkat Negeri Terengganu telah diadakan di Perumahan Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu, semalam.


Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman berkata, Terengganu merupakan negeri perintis kepada program yang bakal dilancarkan di seluruh negeri pada 15 Mac depan.

"Program KJK bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan meningkatkan nilai-nilai murni di kalangan penduduk setempat.

"Pada 15 Mac ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim sendiri yang akan melancarkan program ini secara besar-besaran, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Program Kenali Jiran Kita di Flat Bukit Kecil, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawantankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh; Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato' Haji Wan Hisham Wan Salleh; serta Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Hajah Azizah Awang.

Katanya, Flat Bukit Kecil dipilih untuk menjadi perintis kepada program ini kerana terdapat kaum Melayu, Cina dan India di kawasan terbabit.

"Walaupun berlainan agama dan budaya, masyarakat disini mengamalkan sikap toleransi yang membolehkan mereka hidup aman damai sebagai komuniti 1Malaysia,” katanya.

 

22 February 2013

Samakan penerima BR1M dengan haiwan, bimbang penyokong Pas memihak BN : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Tindakan Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti haiwan adalah disebabkan beliau bimbang penyokong Pas yang turut menikmati bantuan daripada Kerajaan Pusat itu akan memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata disebabkan BR1M diagihkan kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang politik termasuk penyokong Pas sendiri, Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana marahkan penyokong parti yang dipimpinnya itu sanggup menerima bantuan daripada Kerajaan BN.

“Maknanya dia kata ke orang (Pas) dialah. Sebenarnya dia nak marah kepada orang dia kerana ambil BR1M dan mungkin apabila sudah ambil pastinya akan menyokong BN, sebab mahu mengucapkan terima kasih..Sebab itu dia kata macam itu (menyamakan dengan haiwan).

“Sebagai pemimpin yang bertaraf ulama dan guru agama, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya menyamakan bantuan BR1M seperti memberi binatang makan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pancing Ikan Darat Terbuka 1Malaysia Mesra Rakyat, di Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, petang ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kenyataan tidak bermoral seorang pemimpin tertinggi Pas yang juga Menteri Besar Kelantan itu menggambarkan perilaku, tabiat serta personaliti beliau yang sebenar.

Beliau yang kesal dengan kenyataan itu berharap rakyat dapat menilai sedalam-dalamnya kepimpinan Pas masa kini dan memilih parti yang benar-benar memperjuangkan agama, bangsa dan juga negara.

Dalam laporan semalam, ketika jutaan rakyat Malaysia bersyukur dengan pelbagai bantuan yang diberikan Kerajaan Pusat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaliknya menyamakan usaha murni itu sebagai ‘memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu’.

Menurutnya, pemberian wang ringgit sangat mendapat sambutan kerana sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.

Kerajaan Pusat melalui BR1M 2.0 tahun ini memperuntukkan kira-kira RM3 bilion untuk mengagihkan sebanyak RM500 kepada kira-kira 4.3 juta isi rumah manakala kira-kira 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas menerima sebanyak RM250.



Tuah Azlan daftar saat akhir

Oleh: Aida Abd Rahman

Pendaftaran saat-saat akhir bagi menyertai pertandingan memancing membawa tuah kepada seorang nelayan di Marang apabila membawa pulang hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah motosikal Modenas Kriss bernilai lebih RM5,000 sempena Karnival Pancing Ikan Darat Terbuka 1Malaysia Mesra Rakyat, di Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, hari ini.



Mohd Azlan Salleh, 37, dari Kampung Seberang Marang yang sudah sepuluh kali menyertai pertandingan memancing anjuran Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) berkenaan tidak menduga penyertaan kali ini menyebelahinya untuk membawa pulang hadiah utama.

“Saya terkejut apabila empat angka pada cabutan bertuah yang diumumkan pengacara majlis satu persatumenepati nombor saya `4577’. Malah, saya tiba di tapak program dan mendaftar pada saat-saat akhir ketika masa pertandingan hanya berbaki enam minit sahaja lagi sbelum bermula.

"Nampaknya tahun ini rezeki memihak kepada saya untuk membawa pulang motosikal ini. Hadiah ini menambah kenderaan yang saya miliki kini dan saya berhasrat menghadiahkannya kepada isteri saya, Wan Rohaya Yaakob, 29  untuk kegunaan sehariannya,” kata bapa kepada empat cahayamata itu.

Program anjuran JKKK Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek di parit kampung itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan pemenang pertandingan memancing berkenaan.

Program yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir sembilan jam kemudian turut menyediakan pelbagai acara menarik termasuk teka biji betik, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pemeriksaan kesihatan percuma.


Menteri Besar: Pemimpin PAS jahil ketika mentadbir Terengganu

Oleh: Mohammad Ishak

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan betapa buruk dan jahilnya PAS dan pemimpin parti pembangkang itu ketika memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Katanya, antara kejahilan dan keburukan itu apabila banyak syarikat milik kerajaan negeri dijual sehingga ada yang terpaksa dilelong oleh bank atau lenyap tidak dapat dikesan.

Beliau berkata, beberapa syarikat milik kerajaan negeri yang mempunyai pegangan saham seperti A&W, Medic Air, Pelangi Air dan sebuah syarikat yang terbabit dalam pengurusan dermaga di Kemaman iaitu West Wharf yang dilelong oleh bank.

“Kita kecewa dalam tempoh lima tahun semasa PAS memerintah negeri ini (1999-2004) banyak perkara yang dilakukan membabitkan syarikat keraaan. “PAS telah menjual syarikat A&W milik kerajaan Terengganu yang baru mendapat lesen untuk membuka cawangan di Singapura, Manila (Filipina) dan juga di Bangkok (Thailand).

“Kerajaan negeri (ketika zaman pimpinan bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad) membabitkan diri dalam perniagaan ‘fast food’ adalah sebagai usaha untuk memperluaskan produk halal ini. 

Beliau berkata, PAS menjual syarikat itu apabila memerintah negeri ini. “Begiutu juga dengan syarikat penerbangan Medic Air yang lenyap begitu saja dan saya cuba kesan failnya tetapi tak jumpa.

“Kita tak tahu apa jadi pada Medic Air dan ke mana pergi kapal terbang dan juga pelangi Air yang dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Ahmad berkata, lebih menyedihkan lagi apabila kerajaan PAS ketika memerintah negeri ini juga gagal menjelaskan pinjaman bank bagi pembinaan pelabuhan West Wharf di Kemaman yang dibina oleh kerajaan BN sebelum itu.

Disebabkan  kerana kepetingan politik, PAS membiarkan pelabuhan itu yang dibina dengan harga RM80 juta dilelong oleh bank yang diambil oleh sebuah syarikat di Kuala Lumpur dengan harga RM12 juta yang membabitkan kawasan tanah industry seluas kira-kira 280 hektar.

“Tetapi, kita mengambil langkah mengambil semula West Wharf yang membabitkan tanah seluas 240 hektar dan saham syarikat itu menerusi pembelian secara pakej bernilai RM240 juta dan akan diselesaikan dalam masa terdekat. “Pembelian semula West Wharf ini yang PAS membiarkan bank lelong untuk memblehkan kita (kerajaan negeri) mengendalikan pengurusan dan perniagaan kargo yang mampu memberi  pendapatan lumayan,” katanya.

Ditanya PAS menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti binatang yang diberikan makanan, beliau berkata ia amat keterlaluan.

Sambil melahirkan  rasa kesal dan sedih, beliau berkata tuduhan itu didakwa turut dilemparkan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramahnya dalam majlis PAS Ganti UMNO di negeri ini.

Katanya, bekas artis yang juga bekas pelawat Bob Lokman kini menyertai PAS juga dalam ceramahnya menyamakan penerima BR1M sama seperti ayam yang dating apabila ditabur makanan. “Terbaru saya juga diberitahu Abdul Hadi dalam ucapanya (ceramah PGU) baru-baru ini di negeri ini menyebut mereka yang menerima bantuan kerajaan BR1M sebagai binatang yang diberi makan.

 “PAS juga sebenarnya menghina penyokongnya sendiri yang juga ramai menerima BR1M. “Saya meminta penyokong PAS yang menerima bantuan ini yang turut dilabelkan seperti binatang oleh pemimpin mereka jangan undi PAS pada pilihan raya ini (PRU-13),” katanya.

Syukur dapat rumah yang selesa

Oleh; Esah Abdullah

“Saya bersyukur dan berpuas hati dapat tinggal di rumah baru dan selesa berbanding rumah lama yang uzur,” kata Encik Mohamad Muda, 61, orang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Tanjung Kapor, Ladang.

Katanya, beliau percaya kerajaan tidak akan menganiaya rakyat lebih-lebih lagi golongan miskin kerana sentiasa menerima pelbagai bantuan sejak dulu hingga sekarang.

Encik Mohamad merupakan pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum ini tidak pernah memiliki rumah sendiri tetapi tinggal menyewa dari satu tempat ke satu tempat dan terakhir menyewa di Kampung Tanjung Kapor.



“Walau pun selama 30 tahun tinggal menyewa, saya tidak pernah berputus asa memohon rumah daripada kerajaan dan setiap kali gagal saya anggap belum ada rezeki,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2 semalam.

Bapa kepada tiga anak itu yang aktif sejak zaman remaja dan pernah menjadi jawatankuasa pemuda UMNO dan cawangan serta tidak pernah terpengaruh dengan ceramah pembangkang yang sering memburukkan kerajaan memerintah.

“Saya yakin dengan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) bantu rakyat dan pembangkang hanya suka menangguk diair keruh,” katanya.

Seorang lagi penerima kunci pangsapuri berkenaan ialah Encik Yeo She Tang, 68, mengucap terima kasih kepada kerajaan yang sediakan rumah selesa kepada rakyat.

Beliau yang berasal dari Jalan Banggol, dan tinggal menyewa di Kampung Tanjung Kapor melahirkan rasa gembira kerana tersenarai sebagai kumpulan pertama memasuki pangsapuri itu.