Halaman

22 February 2013

Syukur dapat rumah yang selesa

Oleh; Esah Abdullah

“Saya bersyukur dan berpuas hati dapat tinggal di rumah baru dan selesa berbanding rumah lama yang uzur,” kata Encik Mohamad Muda, 61, orang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Tanjung Kapor, Ladang.

Katanya, beliau percaya kerajaan tidak akan menganiaya rakyat lebih-lebih lagi golongan miskin kerana sentiasa menerima pelbagai bantuan sejak dulu hingga sekarang.

Encik Mohamad merupakan pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum ini tidak pernah memiliki rumah sendiri tetapi tinggal menyewa dari satu tempat ke satu tempat dan terakhir menyewa di Kampung Tanjung Kapor.



“Walau pun selama 30 tahun tinggal menyewa, saya tidak pernah berputus asa memohon rumah daripada kerajaan dan setiap kali gagal saya anggap belum ada rezeki,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2 semalam.

Bapa kepada tiga anak itu yang aktif sejak zaman remaja dan pernah menjadi jawatankuasa pemuda UMNO dan cawangan serta tidak pernah terpengaruh dengan ceramah pembangkang yang sering memburukkan kerajaan memerintah.

“Saya yakin dengan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) bantu rakyat dan pembangkang hanya suka menangguk diair keruh,” katanya.

Seorang lagi penerima kunci pangsapuri berkenaan ialah Encik Yeo She Tang, 68, mengucap terima kasih kepada kerajaan yang sediakan rumah selesa kepada rakyat.

Beliau yang berasal dari Jalan Banggol, dan tinggal menyewa di Kampung Tanjung Kapor melahirkan rasa gembira kerana tersenarai sebagai kumpulan pertama memasuki pangsapuri itu.