Halaman

17 February 2013

Ilmu al-Quran halang tafsiran mengelirukan

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap usaha kerajaan bagi membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat negeri ini bukan sahaja mampu mendatangkan kebaikan dan keberkatan kepada negeri, malah turut meningkatkan kefahaman agama serta mewujudkan kesejahteraan di kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata dengan lahirnya masyarakat yang memahami al-Quran dengan cara yang betul pasti mampu menghalang golongan tertentu melakukan kekeliruan menerusi pandangan dan tafsiran yang tersendiri demi kepentingan peribadi atau politik mereka.

“Oleh itu, hari ini apabila lahir ramai golongan ulamak dan mereka yang mengetahui mengenai agama yang berada di pelbagai jabatan dalam negara kita, mereka mengajar di sana-sini, maka kefahaman agama semakin meningkat, hari ini semakin banyak perubahan dalam bidang agama tanah air.

 “Kalau dahulu dengan mudah ayat al-Quran dibaca dan ditafsirkan dengan cara mendesak, maka dengan peningkatan ilmu hari ini ditafsir dengan cara yang sebenar berdasarkan pendapat ulamak,” katanya di Majlis menghafaz al-Quran peringkat negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Haji Khazan berkata, menerusi usaha kerajaan mewujudkan lebih ramai golongan ilmuwan dalam bidang agama dan al-Quran itu sudah cukup memberi kefahaman kepada orang ramai bahawa apa yang dilaksanakan oleh kerajaan itu menepati tuntutan agama.

Beliau berkata, jika dahulu dengan mudah orang menganggap sesiapa yang tidak menjalankan hukum Allah s.w.t tergolong dalam golongan kafir, jika kerajaan tidak melaksanakan hukum hudud juga dianggap kafir dan orang yang menyokong kerajaan juga dianggap kafir.

Bagaimanapun, katanya dengan perubahan masa apabila ramai yang berpengetahuan agama dan mengetahui tafsiran al-Quran maka tuduhan kafir itu dapat diperbetulkan maksud dan pengertiannya.

“Ayat (mengenai kafir) itu ada tafsirannya, sesiapa yang tidak melaksanakan hukum agama dengan mengingkari barulah dia kafir.. kafir apabila dia tidak melaksanakan atas sebab-sebab yang lain tanpa dia mengingkari, maka ini boleh jadi mereka fasik atau dosa besar dan sebagainya

“Inilah tafsir yang sebenar dan apa yang kita mahukan daripada masyarakat kita. Inilah juga apa yang kerajaan usahakan menerusi pelbagai program pendidikan termasuk Pintar al-Quran, program hafazan al-Quran di Sekolah imtiaz dan Majlis Hafazan al-Quran di peringkat negeri,” katanya.

Menurutnya, dengan kefahaman agama, hadis dan al-Quran yang sebenar akan mewujudkan masyarakat yang mampu memenuhi tuntutan agama serta hidup dalam keadaan aman, selain memperolehi keberkatan di dunia dan juga akhirat.