Halaman

21 February 2013

Dana khas bantu rakyat miskin dapat rawatan terbaik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta untuk Tabung Dana Khas Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan pada tahun ini bagi membantu rakyat miskin mendapatkan rawatan terbaik.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, dana khas yang mula diperkenalkan pada 2007 itu menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.

"Walau bagaimanapun, bermula 2012 jumlah tersebut ditambah menjadi RM2.5 juta bagi membantu lebih ramai pesakit yang tidak berkemampuan.

"Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan dana khas sebegini bagi membantu meringankan beban rakyatnya terutama yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan sempurna,” ujarnya ketika ditemui Teganukita, hari ini.

Katanya, dibawah dana tersebut pesakit dibantu untuk membeli peralatan rawatan contohnya seperti kaki palsu dan bagi pesakit lumpuh umpamanya, perbelanjaan untuk keperluan harian seperti lampin pakai buang dan bekalan susu khas turut diberikan.

Menurut beliau, pesakit yang ingin mendapatkan bantuan melalui dana tersebut perlu membuat permohonan melalui pihak hospital.

"Setiap pesakit yang mendapat bantuan merupakan kes yang dirujuk kepada hospital dengan laporan lengkap yang disediakan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

"Sekiranya bukan pesakit di hospital mereka boleh mengambil borang permohonan bantuan melalui Unit Kerja Sosial, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu atau di Pejabat Dewan Undangan Negeri masing-masing tetapi mesti mendapatkan perakuan daripada doktor terlebih dahulu,” jelasnya.

Katanya, setelah permohonan diperakui oleh pihak hospital ia akan dihantar kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan apabila telah diluluskan proses pembayaran atau sumbangan bantuan akan dilakukan oleh Unit Kewangan, Pejabat Setiausaha kerajaan Negeri Terengganu.