Prosiding ketiga Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah akan diadakan bertempat di Mahkamah Persekutuan, Kompleks Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, bermula jam 9.30 pagi pada 22 dan 23 Februari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Di Sabah, Dato’ Saripuddin Kasim berkata, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang andaian mahupun kesimpulan sehingga Suruhanjaya selesai menjalankan siasatannya.
"Penubuhan suruhanjaya ini menandakan kerajaan komited untuk menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah kerana isu itu mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.
"Dengan penubuhan suruhanjaya ini juga, kerajaan mengharapkan warga Sabah akan mengambil manfaat daripadanya untuk bersama-sama kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di negeri itu,” katanya.
Dalam laporan Teganukita sebelum ini ada menyatakan baru-baru ini lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera dari Filipina telah mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.
Difahamkan, dalang itu hanya ingin ambil kesempatan dengan memperlihat seolah-olah masalah keselamatan dan pertahanan sistem negara longgar, dan tidak mustahil situasi itu berhubung kait dengan matlamat politik serta perangkap politik.