Halaman

19 February 2013

Pengundi muda berpihak kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin dengan kecenderungan pengundi muda untuk memihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti berdasarkan kepada gerak kerja secara agresif yang dilaksanakan parti itu bagi mendekati dan membela nasib golongan berkenaan.

Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata komponen bongsu parti BN itu melaksanakan pelbagai usaha dan program bagi meraih sokongan pengundi muda khususnya di kalangan yang baru pertama kali mengundi.

“Kita dari dulu menjangkakan penambahan pengundi muda disebabkan inisiatif dan kesedaran di kalangan mereka sendiri untuk mengundi.

 “Strategi Pemuda BN dari peringkat awal lagi untuk mendekati dan menambat hati mereka khususnya di kalangan yang baru mengundi dengan melaksanakan pelbagai pendekatan seperti kursus, sukan, program agama dan riadah,” katanya di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Bahagian dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Encik Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri berkata, Pemuda BN Terengganu turut memperkenalkan pelbagai produk baru yang relevan dengan perkembangan semasa dan memenuhi keperluan golongan itu termasuk Bantuan Lesen 1Malaysia dan juga Karnival Kerjaya Belia BN 2013  (22 hingga 23 Februari ini).

Selain itu, beliau juga yakin sokongan lebih daripada separuh 10,722 pengundi di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari negeri ini kepada parti itu berdasarkan sambutan dan respon positif golongan berkenaan menerusi gerak kerja Pemuda dan Puteri BN.

 “Lebih daripada separuh penuntut IPTA menunjukkan bacaan sikap ke arah menyokong parti BN. Saya juga melihat kecenderungan pengundi muda terutama yang kali pertama mengundi untuk menyokong kita kerana isu yang melanda pembangkang serta keyakinan golongan itu kepada parti BN yang terbukti mampu membela nasib mereka,” katanya.

Menurutnya, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah seramai 343,938 orang atau 54.60 peratus daripada keseluruhan pengundi di Terengganu yang berjumlah 629, 869 orang sehingga suku ketiga tahun lalu.