Halaman

20 February 2013

BL1M relevan keperluan orang muda

Oleh: Aida Abd Rahman 

Kerajaan Barisan Nasional menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk dinikmati semua rakyat, khususnya golongan muda di negara ini seperti Dana Remaja, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Baucer Buku 1Malaysia untuk golongan pelajar.

Terbaru, Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) pula diperkenalkan Pergerakan Pemuda Umno dengan kadar harga serendah RM199 yang bertujuan melancar dan menambah bilangan pemohon lesen motosikal kelas B2 yang sudah menjadi keperluan majoriti golongan muda.

Hasil cetusan idea Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin kini semakin mendapat sambutan baik golongan berusia 17 hingga 40 tahun di seluruh negara.

Susulan itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang turun padang dalam kunjungan sehari ke Terengganu melakukan pra-pelancaran BL1M di Kampung Gelugor, pada 19 Januari lalu.

Manakala pelancaran rasmi program itu di peringkat nasional dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Alor Setar, Kedah, pada 31 Januari lalu. Menurut Saiful, sempena pra-pelancaran program itu, 450 pemohon di kalangan warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun mendaftar dan berpeluang menikmati kemudahan yang julung kali diadakan itu.

 “BL1M kini semakin mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan orang muda yang belum memiliki lesen motosikal, apatah lagi golongan itu antara pengguna jalan raya yang tertinggi di negara kita.

“Jika sebelum ini mereka yang belum mempunyai lesen perlu berbelanja agak tinggi bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 iaitu antara RM350 hingga RM690. Kadar itu agak tinggi bagi mereka yang berpendapatan kecil. Menyedari hakikat itu, Pemuda Umno membantu meringankan bebanan mereka dengan caj bayaran kurang daripada RM200 adalah yang terbaik untuk membantu golongan itu,” katanya.

Menurutnya, bayaran hanya RM199 kepada instiutusi memandu yang perlu dibelanja setiap pemohon itu dapat mengurangkan jumlah penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen motosikal sekaligus mengelak mereka daripada melanggar undang-undang dan dikecualikan tindakan oleh pihak berkuasa.

Katanya, BL1M juga merupakan suatu produk yang relevan dengan keperluan anak muda dan masyarakat memandangkan lebih 200,000 penunggang motosikal tidak mempunyai lesen di seluruh negara.

Selain itu, seramai 500,000 penduduk negara ini dijangka meraih manfaat daripada BL1M itu. Pemohon BL1M akan menjalani kursus ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan berpeluang menduduki ujian berkomputer bahagian satu hingga tiga kali, sekiranya dua ujian awal berkenaan gagal.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan e-kerajaan, My E.G. Bhd. (MYEG) dilantik bagi mentadbir dan menguruskan pelaksanaan program BL1M di seluruh negara. Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini di www.bl1m.my dan www.myeg.com.my.