Halaman

17 February 2013

5 buah lagi Rumah Perantaraan bakal dibina

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia bakal membina lima buah lagi Rumah Perantaraan sebagai premis tempat tinggal sementara yang disediakan untuk bekas banduan yang baru dibebaskan selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar berkata, setakat ini terdapat 14 buah Rumah Perantaraan telah dibina di mana setiap negeri mempunyai sebuah Rumah Perantaraan yang telah beroperasi.

"Bagi menjayakan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) mengurangkan kadar jenayah, kita bakal menambah lima lagi Rumah Perantaraan iaitu setiap satu di Penang, Selangor, Pahang, Kelantan dan Johor.

"Kerja-kerja pembinaannya akan bermula dalam masa terdekat,” ujar beliau pada sidang media selepas selesai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012, Jabatan Penjara Malaysia (Peringkat Zon Timur) di Hotel Prinzpark, Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN, Puan Hasanah Abd Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Tuan Wan Abdul Rahman Abdullah; Ketua Seksyen Vokasional dan Industri, Dato’ Mohd Sakeri Dollah serta Pengarah Penjara Marang, Hamzani Che Berahim.

Menurut beliau, bekas bantuan yang berada di Rumah Perantaraan dibantu mendapatkan peluang pekerjaan di samping melibatkan mereka dengan program-program pemulihan seperti diberi kaunseling, bagi mengelakkan mereka terjebak kembali dengan kesalahan yang pernah dilakukan.

"Melalui program-program yang dilaksanakan di Rumah Perantaraan kita dapati banyak membantu mengurangkan kadar residivis (kemasukkan berulang) ke penjara di kalangan bekas banduan,” katanya.