Halaman

22 February 2013

YPU lahir pelapis industri batik

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memilih 20 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada golongan miskin untuk menyertai Program Inkubator Batik bagi melahirkan usahawan industri batik.

Program berkenaan diperkenalkan khusus oleh YPU bagi mengembangkan industri batik serta melahirkan usahawan yang mampu memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

Langkah tersebut bukan saja bertujuan meningkatkan taraf ekonomi keluarga berkenaan, tetapi juga memastikan industri batik tidak pupus berikutan bilangan pengusaha yang semakin berkurangan.

Ketua Pegawai Eksekutif (YPU), Encik Azmi Razik, berkata bakal pelatih berkenaan akan diberi elaun bagi menyara hidup mereka sepanjang mengikuti kursus berkenaan.

Beliau berkata, dua syarikat iaitu STR Batik Sdn Bhd dan Khamis Batik sudah dilantik oleh YPU sebagai inkubator bagi melatih pelajar mengenai selok belok proses pembuatan batik secara lebih cekap dan moden.

"Syarikat berkenaan dilantik bagi menyertai program ini kerana ia mempunyai reputasi cemerlang di bidang industri batik negara dan rekaannya berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pelatih program berkenaan akan menjalani latihan di Kota Batik Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang dilengkapi dengan kemudahan pusat latihan dan demonstrasi membuat batik.

Manakala syarikat yang dipilih sebagai inkubator akan dilakukan secara bergilir-gilir di mana pihak pengurusannya diberi kontrak bagi tempoh tiga tahun.

"Selepas itu, pihak kami akan memilih syarikat lain yang berpotensi sebagai inkubator bagi melatih pelajar di bidang pembuatan batik,” katanya. Pada masa yang sama, YPU juga menjalinkan kerjasama dengan Terengganu Institute Design Excellence (TIDE) bagi mendapatkan kepakaran di bidang batik kontemporari.