Halaman

18 February 2013

Ramai ahli Pas patah semangat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Isu penggunaan kalimah Allah telah mematahkan semangat juang ahli-ahli dan penyokong Pas di negeri Terengganu untuk menggerakkan jentera pilihan raya parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).



Lebih parah, dilaporkan beberapa pemimpin Pas peringkat cawangan di kawasan kubu kuat Pas di Marang, tempat Presiden parti itu, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, secara terbuka melahirkan hasrat untuk menutup markas mereka dalam masa terdekat jika isu berkenaan tidak ditangani.

Mereka dikatakan terkilan dengan sikap Presiden Pas yang seolah-olah cuba bermain politik dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi masyarakat bukan Islam.

“Ahli-ahli dan pengikut Pas mahu Haji Hadi membuat kenyataan terbuka bahawa Pas menyokong penuh berhubung larangan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam,” kata satu sumber parti tersebut.

Sumber itu berkata, ahli dan penyokong Pas tidak mahu Abdul Hadi hanya sekadar bersandiwara menyokong larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam di depan orang Pas tetapi bila berada dengan pemimpin DAP, dia setuju kalimah berkenaan turut digunakan oleh bukan Islam.

Teganukita difahamkan berhubung isu itu juga ramai ahli Pas sudah menghubungi ketua-ketua cawangan Umno di Marang untuk melahirkan hasrat mereka keluar Pas dan menyertai Umno.

Mereka tidak rela Islam dipergunakan oleh pemimpin Pas bagi kepentingan politik, terutama dalam soal berpakat dan bersengkokol dengan DAP bagi melawan Umno.

Banyak pihak yakin lebih ramai ahli Pas akan keluar parti itu dalam tempoh terdekat ini kerana tidak puas hati dengan tindak tanduk pemimpin Pas yang jelas menggunakan Islam untuk kepentingan individu tertentu saja.

Mereka mahu Pas kembali kepada perjuangan asalnya iaitu menegakkan negara islam tanpa mengira mereka mendapat sokongan atau sebaliknya.

“Tidak ada gunanya tinggal dalam Pas jika matlamat perjuangan sudah berubah hinggakan sanggup bermusuh dengan saudara seagama (Umno), sebaliknya berbaik-baik dengan orang-orang kafir (DAP),” kata sumber berkenaan.