Pelbagai program dan acara menarik bakal disajikan kepada pengunjung sempena Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD), di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, pada 23 Februari (Sabtu) ini.
Karnival yang bermula jam 8 pagi hingga 10 malam akan dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kira-kira jam 10 pagi.
Selain berpeluang menemui pemimpin nombor satu negara itu, pengunjung juga diperkenalkan pelbagai inisiatif 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia.
Pada masa yang sama, karnival yang mendapat liputan secara langsung menerusi TV3 turut memberi peluang orang ramai menyemak status cukai pendapatan, daftar mengundi, saman trafik dan pertukaran alamat pada MyKad.
Selain kemudahan pemeriksaan kesihatan secara percuma, pengunjung juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan seperti senamrobik yang bermula jam 8 pagi, selain acara bola sepak jalanan dan bola keranjang 3 lawan 3.
PJJD juga menjadi platform untuk golongan muda yang belum memiliki pekerjaan atau mahu menukar kerjaya kerana Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu 2013 menawarkan hampir 3,000 pekerjaan sepanjang dua hari, bermula 22 Februari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.
Seramai 80 majikan daripada pelbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan seluruh Malaysia akan berkampung di karnival itu bagi menawarkan peluang kerjaya, selain perkhidmatan latihan serta kemudahan pinjaman menerusi agensi kerajaan dan perbankan berkaitan.
Bukan sahaja dapat bejumpa personaliti Media Prima seperti TV3, TV9, 8TV dan ntv7 PJJD yang menyediakan pelbagai booth dan gerai jualan juga akan melabuh tirai dengan persembahan artis popular tanah air seperti Tomok, Shiha, candy & Azlan Typewriter bermula jam 9 malam (Sabtu).