Halaman

20 February 2013

Peniaga wajar terima Pasar Payang baru

Oleh: Suriati Ali 

 Peniaga di Pasar Payang sewajarnya bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri yang mahu membina semula Pasar Payang baru empat tingkat yang berhawa dingin bagi mengantikan bangunan itu yang semakin uzur dan daif.

Dalam pertemuan dua hala antara Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu (PPPKM) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini, pihak peniaga mengakui kewajaran cadangan berkenaan bagi keselesaan mereka dan pengunjung,

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Mohd Adzlan Dagang.

 Pengerusi Haji Ibrahim, 69, berkata, dia berpuashati dengan pertemuan dua hala ini terutama apabila Menteri Besar bersetuju untuk menempatkan semula semua peniaga yang beroperasi di Pasar Payang ke bangunan baru setelah pembinaannya siap kelak.

“Keputusan melebar dan menambah lot perniagaan sedia ada iaitu 900 lot kepada 1,000 lot cukup wajar kerana mampu memberi peluang kepada peniaga luar untuk turut berniaga di pasar itu,” katanya.

 Bendahari PPPKM, Encik Zaki Abdul Hamid, berkata dia bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan projek bina semula pasar payang walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak tertentu terutama pembangkang.

Katanya, pihak lain tidak mengetahui secara mendalam mengenai keadaan peniaga di pasar payang yang sering dibelenggu masalah kecurian, bocor dan sisa kumbahan melimpah.

“Apabila musim tengkujuh pula, sebahagian struktur pasar, terutama di ruangan pasar basah akan bergoyang kerana ditiup angin dan dilambung air..

“Jika serius mahu melihat pasar payang terus maju setanding pasar terkemuka lain, kita sewajarnya terima perubahan yang dirancang kerajaan negeri,” katanya.

 Peniaga ikan, Mustafa Kamal Mohd, 69, berkata terima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana sudi mendengar keluhan wakil peniaga,.

"Keputusan Menteri Besar membenarkan semua peniaga, termasuk penjual barangan basah untuk turut bersama-sama berniaga apabila siap Pasar Payang baru kelak adalah berita yang cukup mengembirakan.

 “Saya dan peniaga barangan basah lain berjanji akan menjaga dispilin ketika berniaga dengan tidak membuang sisa bahan mentah seperti perut ikan dan ayam,” katanya.