Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mewujudkan pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa (KSJA) bertempat di Putrajaya tahun ini.
Naib Canselor UMT Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, pusat ini akan berfungsi sebagai wakil UMT dengan Kerajaan Pusat khususnya melalui jemputan mesyuarat dan jaringan strategi.
“Kita perlu hubungan yang rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi Kerajaan Pusat yang lain jika mahu terus maju ke hadapan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.
Menurutnya, dengan cara ini sebahagian daripada tugas pemimpin dan pengurus akademik untuk ke Putrajaya bermesyuarat boleh diambil alih oleh pusat ini.
Pada masa yang sama katanya, inisiatif boleh diambil untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui pelbagai peluang dan aktiviti globalisasi yang berlaku di Putrajaya (pusat pentadbiran) dan Kuala Lumpur (pusat perniagaan).
“Kita juga perlu memperluaskan dan menjajar peranan penerbitan UMT kepada peranan baru sebagai pusat penerbitan akademik dan korporat,” katanya.
Katanya, peranan penerbitan akademik akan dikekalkan untuk menerbitkan dua jurnal UMT iaitu Journal of Business and Social Development (JBSD) dan Journal of Sustainability Science and Management (JSSM) serta penerbitan monograf hasil penyelidikan dan buku teks terpilih.
Tambahnya, pusat ini juga akan berfungsi untuk menyelaras penerbitan korporat dalam bentuk majalah, buku dan laporan strategik untuk meningkatkan citra UMT.