Halaman

18 February 2013

Rundingan dengan penceroboh Lahad Datu diteruskan - Zahid

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha memujuk kumpulan bersenjata dari Filipina yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, supaya meninggalkan kawasan itu sedang giat dijalankan.

Beliau tidak menolak kemungkinan pencerobohan sekumpulan warga Filipina ke kawasan pesisir pantai Lahad Datu, Sabah didalangi rakyat negara ini yang sengaja ingin negara jadi huru hara.

Beliau berkata ia membabitkan rundingan bersama pasukan polis manakala pihak tentera membantu dari segi operasi pemantauan.

Dalam kejadian Selasa lalu, dilaporkan lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Menurutnya, dalang itu hanya ingin ambil kesempatan dengan memperlihat seolah-olah masalah keselamatan dan pertahanan sistem negara longgar, dan tidak mustahil situasi itu berhubung-kait dengan matlamat politik serta perangkap politik.

“Saya fikir, mereka tentu tidak bertindak sendirian jika tiada dalang di belakangnya. Malah, dalang itu mungkin bukan dari Filipina, tetapi berkemungkinan dari dalam negara ini sendiri yang ingin melihat keadaan negara aman damai ini bertukar huru-hara.

 “Keadaan di sana (Lahad Datu) terkawal. Pihak polis telah lakukan operasi sepenuhnya bersama-sama tentera. Sehubungan itu juga, diharapkan kita dapat sanggah apa yang ditulis dalam blog media sosial yang pro pembangkang mengatakan mereka ini pengganas.

 “Sebaliknya mereka ini dipercayai sekumpulan nelayan dari Selatan Thailand yang mengatakan mereka pewaris keturunan Raja Sulu. Usaha memujuk mereka meninggalkan Lahad Latu diharap mencapai hasil kerana kita tidak mahu berlaku pertumpahan darah.

 “Kita juga telah jelaskan jangan termakan pujuk mereka yang ada di dalam. Kumpulan ini juga bukan tentera dan kenyataan terperinci mengenai perkara ini akan dikeluar Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Pihak keselamatan akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah itu melalui perundingan, bukan pertumpahan darah, katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Hulu Terengganu ,semalam.