Demi menjaga kepentingan orang Melayu agar terus kekal menetap dalam kawasan bandar serta tuntutan pembangunan, Kampung Tanjong Kapor, Ladang Tok Pelam dan sekitarnya dibangunkan semula.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang 1 dan 11 membuktikan kerajaan bertanggung jawab dan tidak menganiaya rakyat.
“Kita buat rumah dulu dan beri mereka duduk dengan selesa bila selesai bayar pampasan baru kita jalankan kerja-kerja meroboh kawasan berkenaan,” katanya di majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2 dan Penerangan Pembangunan Kampung Tanjung semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abd Razak Ismail; Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato’ Haji Osman Muda; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.
Katanya, sebelum kerajaan laksanakan pembangunan di sini, seluas tiga hektar kawasan yang mempunyai 50 lot tapak rumah sudah jatuh ke tangan orang bukan Melayu.
“Jadi untuk menyelamatkan kaadaan, kerajaan sediakan rumah yang selesa dalam kawasan bandar yang berdekatan dengan tempat mereka bekerja,” katanya.
Menteri Besar berkata, sewa yang dikenakan sebanyak RM280 sebulan kepada penghuni dalam tempoh tiga tahun itu akan dijadikan sebagai wang pendahuluan untuk memiliki rumah berkenaan.
“Tujuan kita berbuat demikian bagi mengelak rumah ini bertukar tangan kerana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM75,000 setiap keluarga yang memiliki rumah ini,” katanya.
Pada majlis berkenaan, seramai 20 daripada 25 keluarga pertama yang masuk ke pangsapuri iti menerima kunci rumah masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar manakala lima orang lagi akan menerima kunci rumah mereka daripada Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Program Jelajah Janji Ditepati pada 23 Februari ini.