Halaman

17 February 2013

MOSTI sedia dana bagi penyelidikan sains marin

Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (Mosti) sentiasa menyokong mana-mana universiti yang ingin membuat penyelidikan dalam bidang sains dan oseanografi dengan menyediakan geran terutama dalam sains gunaan dan bidang berkaitan.

Ketua Penolong Setiausaha Direktorak Osenografi Kebangsaan (NOD), Haji Shahruddin Yusof berkata, kerjasama akan diadakan dengan negara-negara luar untuk dapatkan teknologi terkini serta memerlukan bantuan mereka dengan menghantar pelajar kita ke negara maju untuk menimba pengalaman.

“Setakat ini kita sudah menjalin kerjasama dengan beberapa negara termasuk China dan India serta negara-negara lain yang ada teknologi sains marin dan oseanografi,” katanya dalam sidang media pada Bengkel Sains Marin dan Ekosistem di Ri-Yaz Heritage Pulau Duyong hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili; Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Prof. Dr. Mohd Lokman Hussain dan Prof. Dr V.R. Vijayan dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta wakil-wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Katanya, Mosti juga mempelawa para penyelidik membuat permohonan secara dalam talian untuk mendapatkan dana yang disediakan bagi tujuan projek penyelidikan terutama dana-dana teknokrat.

“Kebanyakan penyelidik hari gemar menjalankan penyelidikan mereka sekitar perairan sahaja yang sepatutnya mereka boleh pergi jauh hingga ke laut luas kerana dari segi kemudahan infrastruktur tiada masalah dan boleh menggunakan kapal RV Discorvery milik UMT,” katanya.

Sebelum itu Haji Shahruddin telah membentangkan ucaptama pada program berkenaan mewakili Pengarah NOD, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar.