Halaman

19 February 2013

Harap lebih ramai calon muda pada PRU13 : Saiful

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu menaruh harapan tinggi supaya lebih ramai calon muda diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memberi peluang pemimpin pelapis itu membarisi kepimpinan negeri.

Sambil tidak menyangkal pengalaman, jasa bakti dan kehebatan pemimpin BN yang terdahulu, Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin berkata dengan meletakkan lebih ramai calon muda juga memberi potensi lebih cerah kepada BN bagi memenangi PRU13 memandangkan lebih separuh pengundi di Terengganu adalah golongan muda.

“Jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah seramai 343,938 orang atau 54.60 peratus daripada keseluruhan 629, 869 orang pengundi sehingga suku ketiga tahun lalu di seluruh Terengganu.

 “Saya memang mengharapkan penambahan calon muda kerana pengundi muda pastinya lebih tertarik kepada pemimpin muda berikutan mereka nanti dapat membawa mesej baru dan juga mampu menjadi pemimpin pelapis,” katanya di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Bahagian dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Encik Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, berkata pada PRU 2008 lalu hanya empat calon dari komponen sayap parti itu dipilih bertanding serta memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada PRU 2008, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat; Adun Telemong, Haji Rozi Mamat; Adun Permaisuri, Abd Halim Jusoh dan Haji Wan Abdul Hakim Mokhtar (Adun Air Putih).

 “Saya sudah mengemukakan senarai nama calon-calon dari peringkat Pemuda Umno dan juga rakan lain untuk dipertimbangkan oleh YAB Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Presiden Parti dan juga Ketua Pemuda Umno Malaysia.

 “Saya berharap calon muda yang kita kemukakan nanti dapat dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di kerusi DUN dan juga Parlimen. Mereka nanti juga diberi peluang membarisi kepimpinan negeri. Bagaimanapun, kita menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan,” katanya.