Seramai 25 keluarga dari Kampung Tanjung Kapor yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek pembesaran jalan di kawasan berkenaan menerima kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2, dalam satu majlis penyerahan kunci di pangsapuri berkenaan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang membuat penyerahan kunci berkenaan mengingatkan semua penerima agar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan BN yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam sebarang tindakan.

“Marilah sama-sama kita berdoa agar mereka yang selalu menyebarkan fitnah serta buruk sangka terhadap usaha kerajaan membela rakyat diberi hidayah Allah SWT,” katanya ketika berucap di majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2 petang ini.

Menteri Besar mengulangi kata-kata yang selalu disebutkan dimana-mana majlis yang dihadiri bahawa kerajaan BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat tidak kira fahaman parti serta sedia mendengar suara rakyat di akar umbi.

Pangsapuri Ladang Gemilang 2, setinggi 17 tingkat termasuk empat tingkat pertama khusus untuk pakir kereta serta 192 unit rumah dengan kos pembinaan RM198,000 seunit.
