Halaman

23 February 2013

Sokongan rakyat terhadap BN makin padu

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Sokongan rakyat Terengganu terutama di peringkat akar umbi semakin bertambah selepas mereka melihat kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa satu anjakan pembangunan kepada negeri ini berbanding dulu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negara, termasuk Terengganu dalam membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan pembangkang tidak senang duduk.

 “Faktor itu membuatkan mereka terpaksa mencipta pelbagai fitnah dan dakyah palsu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shahbandar, hari ini.


Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak itu turut dihadiri Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Tetamu kehormat lain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

Kira-kira 60,000 penduduk hadir pada program yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 10.30 pagi. Selepas pelancaran, Dato’ Sri Mohd Najib bersama rombongan melawat tapak pameran sebelum berakhir dengan jamuan makan bersama rakyat, kira-kira jam 12 tengah hari.

 Sejurus kemudian, Perdana Menteri bertolak menghadiri majlis perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Pertemuan bersama pemimpin dan ahli parti berakhir dengan jamuan petang kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, Datin Paduka Seri Rosmah pula dijangka melawat Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Kuala Nerus, kira-kira jam 3.30 petang.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, Terengganu hari ini, cukup bertuah kerana dikunjungi pemimpin nombor satu negara, yang tidak jemu-jemu membantu rakyat dan memberi pelbagai kemudahan kepada semua golongan.

“Kerajaan BN adalah sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat, justeru itu, mari kita sama-sama seia sekata dengan berjanji menyokong BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.

“Kita mahu melihat Terengganu terus membangun dan menjadi negeri maju menjelang 2020, oleh itu kita perlukan sebuah kerajaan yang mampu melaksanakan dengan adil dan bijaksana,” katanya..