Halaman

21 February 2013

Kos asal RM15 juta baik pulih Stadium SMZA tidak berubah

Oleh: Noraini Jusoh

Kos asal RM15 juta untuk membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tidak akan berubah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib.

Beliau berkata, kerugian akibat kerangka bumbung SSMZA yang sedang dalam proses baik pulih runtuh kira-kira jam 11.30 pagi semalam, akan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor yang bertanggungjawab dan soal kenaikan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi meneruskan projek baik pulih tersebut tidak akan timbul.

"Kesilapan kaedah kerja oleh pihak kontraktor antara punca berlakunya kejadian yang tidak diingini itu.

"Sebelum kerja-kerja membaik pulih bumbung itu dijalankan kajian integriti telah kita lakukan dan cadangan kaedah kerja yang dikemukakan oleh pihak kontraktor untuk membuka kerangka bumbung itu tidak tepat,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Negeri, malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung dimana proses baik pulihnya dijadualkan siap sepenuhnya 24 Februari ini.

Difahamkan, struktur kerangka bumbung yang runtuh itu adalah sepanjang 137 meter iaitu dua pertiga daripada keseluruhan struktur bumbung yang mahu diruntuhkan.

Semalam, lima daripada lapan pekerja binaan yang sedang menjalankan kerja-kerja memotong kerangka lama bumbung stadium itu cedera apabila kerangka lama bumbung SSMZA yang dalam proses baik pulih itu tiba-tiba runtuh.