Halaman

18 February 2013

Proses baik pulih Stadium Sultan Mizan dalam pelaksanaan

Kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
sedang dalam pelaksanaan.
Oleh: Noraini Jusoh

Proses membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sedang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja membaikinya setakat ini bersandarkan kepada dua pakej yang melibatkan peruntukan awal sebanyak RM15 juta.

Datuk Za'abar
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, kedua-dua pakej tersebut dijalankan secara serentak.

"Bagi pakej pembukaan semula bumbung stadium yang lebih kecil yang tidak terlibat dalam runtuhan tiga tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta kerana daripada kajian graviti yang dibuat bumbung tersebut juga didapati tidak selamat.

"Manakala, kerja-kerja bagi pakej membaiki bumbung utama yang terlibat dengan runtuhan pula melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta berikutan kerja-kerja tersebut agak rumit dan memakan masa kerana ia perlu menyiapkan 306 rasuk dalam pelbagai bentuk dan saiz yang melibatkan tempat duduk utama,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada Majlis Bantuan ‘One-Off’ Banjir Negeri Terengganu 2012/2013 Peringkat Daerah Dungun di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.

Katanya, kerja-kerja bagi pakej membuka semula bumbung stadium telah selesai hampir 50 peratus.

Menurut beliau, setelah kerja-kerja awal tersebut selesai, proses pemilihan bumbung akan dibuat dengan memberi keutamaan kepada pemilihan reka bentuk yang tidak membebankan struktur yang sedia ada.

Tambah beliau, kedua-dua pakej itu termasuk juga kerja-kerja pendawaian elektrik, mekanikal serta membaiki padang supaya sekurang-kurangnya sebagai permulaan padang tersebut boleh digunakan pada siang hari untuk aktiviti-aktiviti tertentu.