Halaman

17 February 2013

Terengganu Bina Litar Lumba RM30 juta

Oleh: Fauzi Mohd dan Suriati Ali

Kerajaan negeri bercadang membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta di kawasan seluas 30 ekar pada tahun depan.



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kos pembinaan kompleks itu akan dimasukkan dalam bajet negeri 2014.

 “Buat masa sekarang kerajaan negeri masih mengenal pasti lokasi bersesuaian di sekitar Kuala Terengganu termasuk satu kawasan di Batu Rakit dan Lembah Bidong di Setiu.

“Ada cadangan supaya ia dibina di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan tanah sudah ada. Tapi, memandangkan jaraknya agak jauh dari sini, kerajaan merasakan lokasinya tidak sesuai,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santai Menteri Besar Bersama Skuad Sukarelawan Bermotor di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Pertubuhan Permotoran Bersatu Malaysia (Rider United), Encik Wazi Abdul Hamid.

 Program itu dihadiri lebih 1,600 Skuad Sukarelawan Bermotor termasuk Kelab Motor 69,71 dan 99 serta dimeriahkan dengan kehadiran ikon Riders United seperti Zizan Razak, Intan Ladyana dan Sari Yanti.



 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kompleks yang akan dibina mengikut spesifikasi litar bertaraf profesional itu membolehkan peminat sukan khususnya golongan muda membuktikan kebolehan mereka di lapangan sebenar.

 “Saya berharap akan lahir anak Terengganu yang mampu pergi jauh dalam bidang berkenaan kerana litar khas itu akan diseliakan oleh tenaga pengajar profesional yang akan mengawal aktiviti di samping mengatur program untuk pengguna litar.

 “Terengganu berjaya lahirkan pasukan lumba basikal profesional iaitu Terengganu Pro Cycling Team (TSG) dan tidak mustahil akan muncul ikon sukan permotoran di kalangan anak Terengganu,” ujarnya.

 Sementara itu, Encik Wazi dalam ucapannya berkata, Rider United akan menjelajah ke setiap daerah di Terengganu bagi mencari bakat baru yang boleh digilap menjadi jaguh permotoran.

“Budaya menunggang motosikal secara berhemah dan selamat akan ditekankan secara serius sepanjang jelajah itu dengan harapan agar indek kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

“Saya yakin tempoh tiga tahun bermula tahun ini sudah cukup untuk kami berusaha melahirkan ikon dalam sukan permotoran ini kerana Terengganu sudah mempunyai nama tersendiri dalam melahirkan jaguh sukan,” katanya.