Kolej Universiti Tati (TATiUC) telah mengadakan majlis makan tengahari bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan warga pendidik di Ri-Yaz Heritage, Resort & Spa, Terengganu, hari ini.
Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC berkata, tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara TATiUC dengan pengetua dan guru kaunselor sekolah menengah di negeri Terengganu.
"Kita menghargai jasa dan sumbangan pengetua dan guru kaunselor dalam mempromosikan program-program akademik TATiUC kepada para pelajar.
"Peranan dan jasa pengetua dan guru kaunselor sangat besar dalam membantu pelajar menentukan hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan,” ujarnya pada sidang media selepas majlis tersebut.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin; Permangku Rektor TATiUC, Dr. Zunaidi Ibrahim; Pendaftar TATiUC, Tuan Haji Che Suhaimin Mohamad; Ketua-Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah Negeri Terengganu.
Katanya, beliau mengharapkan para pelajar mengambil peluang yang ditawarkan oleh TATiUC untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran yang mereka minati dengan bimbingan oleh guru kaunselor.
Tambah beliau, warga pendidik juga diseru memberi seluruh komitmen dalam mendidik anak-anak Terengganu agar dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.