Halaman

20 February 2013

Isu pasar baru Kedai Payang selesai

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali 

Beginilah ilustrasi artis menggambarkan keadaan bangunan baru Pasar Payang besreta bangunan hotel dan apartmen yang akan dibina kelak
Isu bantahan segelintir peniaga berhubung cadangan kerajaan negeri membina pasar baru Pasar Payang selesai apabila mereka bersetuju dengan cadangan tersebut hasil pertemuan dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.

Menteri Besar Dato'Seri Haji Ahmad Said ketika berbincang dengan Persatuan Peniaga dan  Penjaja  Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu di Sri Iman hari.

Dalam pertemuan itu yang diadakan di Seri Iman, Menteri Besar bersetuju menerima cadangan peniaga untuk menempatkan semula semua peniaga yang beroperasi di Pasar Payang ke bangunan baru setelah pembinaannya siap kelak.

Sebelum ini, segelintir peniaga membantah cadangan projek membina bangunan baru Pasar Payang empat tingkat dan berhawa dingin kerana peniaga ikan dan barang-barang basah yang berniaga di situ sejak sekian lama akan dipindahkan ke Pasar Cabang Tiga.

Bagaimanapun, selepas perbincangan antara Menteri Besar dan ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu, pihak kerajaan bersetuju untuk mengekalkan semua peniaga, dengan syarat mereka menjaga kebersihan di premis masing-masing.

Kerajaan negeri merancang pembinaan bangunan baru bagi menggantikan Pasar Payang yang sedia ada selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengesahkan ia tidak selamat diduduki.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang di mana projek itu akan dimulakan tahun ini. Sebelum ini,



Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, kotor dan mencemarkan imej Bandar Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat dan mampu menarik lebih ramai pelancong membeli-belah di situ.

Mengulas mengenai persetujuan itu, Menteri Besar berharap ia tidak lagi menjadi isu dan meminta semua peniaga di Pasar Payang tidak melayan sebarang hasutan daripada pihak lain, khususnya pembangkang yang cuba mempolitikkan isu berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan kita akan melakukan yang terbaik bagi menjaga kebajikan dan keselesaan peniaga, tetapi pada masa yang sama peniaga pula perlu menjaga tempat perniagaan supaya sentiasa bersih.

“Mereka tidak boleh sepanjang masa mengharapkan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memantau keadaan ini kerana persekitaran yang bersih amat penting bagi menarik pelanggan, khususnya pelancong dari luar Terengganu,” katanya.