Halaman

19 February 2013

Negara kekurangan saintis muda

Oleh; Esah Abdullah

Negara memerlukan saintis muda sebagai pelapis bagi menerajui bidang Sains Marin ke arah membangunkan teknologi berkaitan laut dan ramalan iklim di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, selama ini Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara kebanyakan mengeluarkan graduan dalam bidang sains fizik, kimia, biologi tetapi kurang dalam bidang berkaitan teknologi Sains Marin.

Katanya,sebagai sebuah negara dipinggir laut, kita kekurangan pakar-pakar dalam bidang Sains Marin oleh itu kita perlu bergerak lebih cepat ke arah membangunkan pakar-pakar dalam bidang ini khususnya untuk membuat ramalan cuaca, angin kenyang dan sebagainya.

 “Perbincang perlu bagaimana kita boleh bergerak lebih pantas mencari ruang dan lompang yang ada untuk memperbaiki kekurangan lalu,” katanya pada Bengkel sains Marin dan Ekosistem ‘Agenda Nasional Hala Tuju Masa Depan di Ri-Yaz Heritage Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Selain itu katanya, melalui teknologi sains marin boleh memperbaiki kehidupan rakyat yang berada dipersisiran pantai dan juga sebagai persediaan negara menghadapi ancaman rebut dan cuaca , Tsunami dan sebagainya.

 “Sehingga ini negara hanya mempunyai 30 orang saintis dalam bidang sains marin yang kebanyakan sudah lama berkhidmat manakala setiap tahun kira-kira 120 orang penyelidikan dalam bidang sains (ijazah peringkat pertama) berjaya menamatkan pengajian.

“Yang jelas kita memerlukan pelapis muda bagi merapatkan usia dengan saintis sedia ada dan usaha menghantar pensyarah muda ke luar negara bagi melengkapkan pengajian PhD dalam pelbagai bidang sains marin dan teknologi sedang berjalan,” katanya.

Oleh itu katanya, kita memerlukan beberapa tahun lagi untuk melihatkan hasilnya kerana pelajar-pelajar ini baru saja memulakan pengajian masing-masing.