Halaman

09 March 2013

Nor Aziah sebak ziarah pusara arwah suami sebelum pulang ke Perlis


Nor Aziah ziarah pusara arwah suami sebelum pulang ke Perlis.

Oleh: Mohammad Ishak

 “Walaupun jauh Insyaalah saya dan anak akan sentiasa menziarah pusara arwah suami tersayang sebaik ada kelapangan dan cuti umum,” kata balu perwira negara,Nor Aziah Noor,29. Nor Aziah isteri kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat,yang terkorban dalam kejadian pada 1 Mac apabila di serangan pengganas di Lahat Datu, Sabah, masih hiba dengan kehilangan suami tercinta.

Selepas seminggu berada di rumah ibu mertuanya di Kampung Kubang Ikan, dekat sini, kerana urusan pengkebumian arwah, Nor Aziah pagi semalam menziarah pusara Allahyarham sebelum pulang ke rumahnya di Ipoh, Perak.

 Ketika ditemui di tanah perkuburan Islam Kampung Gong Bayor, balu kepada dua anak itu memohon restu Allah agar roh suaminya diletakkan dalam golongan yang berimam.

Dalam keadaan sebak dan berlinangan air mata Nor Aziah yang ditemani kakak iparnya,Aishah Mamat,32, menziarah pusara buat kali terakhir sebelum pulang ke kampung halaman berjanji akan datang semula apabila ada kelapangan.

Katanya, sekembali ke kampung beliau akan membina kehidupan baru bersama dua anak dan memilih untuk menetap di Kangar,Perlis bersama ibu bapanya.

“Alhamdulilah permohonan saya untuk bertukar mengajar di Kangar, sudah dipertimbangkan kerajaan dan membolehkan saya tinggal bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Kampung Gong Bayor.

Bagaimanapun,katanya, hubungannya dengan bekas ibu mertua,Khatijah Ismail, 64, tetap tidak putus malah saya akan datang untuk menjengoknya dari masa ke semasa.

 Beliau yang sedang mengandung dua bulan yang dijangka melahirkan anak ketiga 19 Oktober depan dan tarikh sama dengan kelahiran Allahyarham berharap anak yang akan dilahirkan selamat.

 Nor Aziah juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan penduduk Besut yang sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada beliau dan keluarga menyebabkan beliau kini kembali bersemangat.

Terengganu membuka tirai Karnival Jom Heboh 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Karnival Jom Heboh (KJH) 2013 yang memasuki tahun ke -11 penganjurannya oleh Media Prima Berhad telah memilih Terengganu sebagai lokasi pembuka tirai sebelum meneruskan siri penjelajahannya ke negeri-negeri lain.

Berkonsepkan ‘rekreasi dan riadah’ rombongan KJH pada tahun ini telah berkampung di Pulau Warisan, Kuala Terengganu selama dua hari bermula semalam (8 Mac).

Di sebalik kemeriahan aktiviti hiburan yang dihidangkan kepada masyarakat Terengganu, Media Prima Berhad turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah Puan Ramlah Mohd Zain dari Kampung Balik Bukit dan menyumbang RM15,000 kepada beliau.


Selain itu, Tabung Wira Lahad Datu Media Prima turut diletakkan di gerai-gerai program bagi mengumpul dana untuk keluarga ahli pasukan keselamatan yang terkorban dalam misi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar berkata, pihak TV3 amat bersyukur kerana KJH terus mendapat sambutan hebat khususnya oleh penonton setia TV3 di negeri ini.

"Saya merakamkan setinggi penghargaan terutamanya kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, pihak penaja, personaliti TV3, artis-artis yang turun padang serta para pengunjung KJH pada kali ini.

"Tanpa sokongan semua tidak mungkin karnival ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” ujarnya ketika menemani Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengadakan lawatan ke tapak Karnival Jom Heboh TV3 di perkarangan Pulau Warisan, hari ini.

Katanya, tarikan terbaru KJH tahun ini adalah Selera@JOm Heboh, Wow Booth, Bananana! Land dan One Stop Center selain gerai Cereka, Studio 3 dan Kota Ilmu.


Sementara itu, dalam lawatan ke gerai-gerai yang terdapat di karnival tersebut, Dato’ Seri Haji Ahmad sempat menunjukkan kehebatannya memasak dengan mengadakan demostrasi masakan bersama chef Zaidah di gerai Selera@Jom Heboh.

Sebagai seorang Menteri Besar yang berjiwa rakyat, beliau turut mengambil kesempatan dalam lawatan itu untuk beramah mesra dan bertanya khabar pengunjung yang datang ke KJH.

 

Anwar ada agenda tersendiri

Oleh: Gelombang Biru

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sering menyanyikan lagu `Tanya Sama Pokok’ dianggap mempunyai agenda tersendiri, selain untuk kepentingan parti.

 Katanya, dia khuatir dengan sikap dan gelagat Anwar di mana sering menyatakan perkataan `hilang’, apa yang dimaksudkan itu, kita tidak tahu, sama ada negara kita akan hilang atau BN yang akan terlepas. “Cara-cara dia bercakap banyak sangat putar belit dan tiada lain, semua yang diperkatakan itu adalah untuk kepentingan diri dan politik, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bicara Tokoh Negarawan, di Dewan Majlis Daerah Marang, di Kampung Paya, Marang.



 Hampir 5,000 orang terdiri daripada penduduk kampung, kakitangan kerajaan dan ahli-ahli pertubuhan kebajikann hadir pada majlis anjuran panel Perundingan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri.



 Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan beberapa pemimpin setempat.

Tun Dr Mahatdir turut memberitahu, Anwar juga pernah berjanji dengan rakyat Sabah, termasuk untuk menyemak tuntutan dari Sabah, termasuk berkaitan 20 peratus royalti minyak kepada Sabah.

 “Apa yang dinyata dan dijanjikan itu tidak pelik kerana Anwar sememangnya gemar memutarbelitkan fakta dan juga seorang individu yang boleh dikategorikan sebagai penipu besar,” katanya.

 





JPJ berjaya kutip hasil RM3.33 billion

Oleh; Esah Abdullah



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya meningkatkan kutipan hasil jabatan itu sebanyak 5 peratus iaitu RM3.33 billion sepanjang tahun lalu berbanding RM3.17 billion tahun sebelumnya. Ketua Pengarah JPJ,

Dato’ Sri Solah Mat Hassan berkata, kutipan bagi lesen kenderaan bermotor memperolehi kutipan tertinggi iaitu RM2.2 bilion manakala lesen memandu mengutip RM414.4 juta

“Bagi bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan pula sebanyak RM203.6 juta diikuti bayaran pendaftaran kenderaan biasa RM151.1 juta, lain-lain bayaran RM190.4 juta dan bayaran selesai tanpa bicara RM82.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPJ Malaysia 2012, di Dewan Utama Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, penaiktarafan Stesen Penguatkuasa (SPK) kepada pejabat cawangan yang mendapat reaksi positif penduduk setempat merupakan salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan kutipan hasil jabatan tahun lalu.

“Sehubungan itu kita telah mengenal pasti empat lagi SPK yang boleh dibaik taraf kepada pejabat cawangan iaitu SPK Bukit Besi kepada Pejabat Cawangan Dungun dan SPK Jerantut kepada Pejabat Cawangan Jerantut.

“SPK Maran kepada Pejabat Cawangan Maran dan SPK Kuala Selangoe kepada Pejabat Cawangan Kuala Selangor.,” katanya.

Selain itu katanya, cadangan turut dibuat bagi membeuka cawangan baharu di Cameron Highland dan Baling,Kedah tidak lama lagi dan waran perjawatan untuk dua pejabat berkenaan telah diluluskan.

Pada majlis itu seramai 616 orang kakitangan JPJ seluruh negara menerima APC dan 25 orang daripadanya merupakan kakitangan JPJ Terengganu.

Pada majlis yang sama JPJ telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM13,823 untuk mengisi Tabung Wira Lahad Datu Media Prima hasil derma semua warga JPJ seuruh negara.

 

Pasar raya baru elak penduduk ke luar Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kewujudan lebih banyak pasar raya baru di Bandar Kuala Terengganu memberi peluang Bumiputera di negeri ini untuk meningkatkan penglibatan di bidang ekonomi dan mengelak penduduk daripada berkunjung ke luar Terengganu khususnya Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan untuk membeli-belah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kebanyakan penduduk negeri ini yang berkemampuan dan mempunyai kuasa beli yang tinggi memilih untuk berkunjung ke pasar raya terkenal di bandar besar luar Terengganu bagi mendapatkan barangan pilihan masing-masing terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Apabila mereka keluar membeli-belah di negeri lain, menyebabkan kita rugi kerana aliran perbelanjaan mereka, wang keluar di tempat lain bukan negeri kita sendiri.

 “Dengan adanya kemudahan pusat beli-belah di tempat kita sendiri, kita akan wujudkan perbelanjaan yang berterusan dalam ruang likup (kawasan) kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek PB Sentral, Jalan Enku Embong Fatimah, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Osman Muda.

 PB Sentral sempena nama kawasan `Paya Bunga’ sebagai kesinambungan pembangunan projek PB Square yang sudah 82 peratus siap dan Plaza Paya Bunga yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya Jun ini, selepas terbengkalai agak lama.


Menteri Besar berkata, PB Sentral yang bernilai RM90 juta setinggi sembilan tingkat akan dilengkapi 679 lot parkir (tingkat satu hingga enam), 10 panggung cineplex (tingkat tujuh hingga lapan) serta pusat boling (36 lorong) di tingkat sembilan.

 Selain itu, Dato’ Seri haji Ahmad berkata kerajaan negeri juga merancang membangunkan pusat perniagaan baru dikenali sebagai `Life Style Mega Mall’ di kawasan seluas satu juta kaki persegi di Kampung Tanjung yang turut dilengkapi dengan kompleks membeli-belah, panggung wayang, pusat boling dan juga apartment.


08 March 2013

Ahli Parlimen Kuala Nerus lawat rumah keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat.


YB Datuk Nasir dan isteri bertanyakan sesuatu kepada Nor Aziah.

Oleh: Mohammad Ishak

Tersentuh dengan nasib yang menimpa keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat yang terkorban ketika menjalankan tugas di Lahat Datu, Sabah,minggu lalu menggerakkan hati Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri menziarah rumah keluarga berkenaan.

Yang Berhormat Datuk Nasir yang ditemani isterinya serta pegawai dari Pejabat Parlimen Kuala Nerus, mengambil peluang bertanya kabar balu Allahyarham, Nor Aziah Noor, 29, ketika berkunjung di rumah mertuanya di Kampung Kubang Ikan, dekat Kampung Raja,Besut.

Nasir yang turut terharu selepas mendengar sendiri cerita daripada Nor Aziah kelihatan sebak dan mendoakan keluarga berkenan akan hidup dengan tabah dan bersemangat walaupun kehilangan suami dan anak tersayang.

Nor Aziah yang menyambut kehadiran pemimpin kerajaan itu tidak menyangka ramai pemimpin kerajaan negeri serta pegawai kanan jabatan kerajaan Terengganu hadir untuk menziarah keluarganya.

 “Kehadiran mereka menyuntik semangat kepada saya ketika berada dalam keadaan duka mengenangkan musibah yang menimpa arwah suami,” katanya.

Sementara itu, Nor Aziz juga menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said yang mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada keluarganya.

 Katanya, beliau amat terharu di atas keperihatinan kerajaan negeri dan pemimpinnya yang berkongsi kesedihan di atas insiden yang menimpa arwah suaminya.

Pemuda tubuh Unit Gerak Gempur

Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu menubuhkan Unit Gerak Gempur bagi menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Unit berkenaan akan membantu jentera parti berkempen di seluruh negeri, terutama melibatkan ‘kawasan panas’ yang menjadi kubu pihak pembangkang.

Ketua Penerangan pergerakan itu, Encik Mohd Hisyam Zubir, berkata pihaknya meramalkan proses pilihan raya kali ini lebih ‘panas’ dan kritikal, khususnya daripada pihak pembangkang yang sebelum ini memang gemar mencetuskan suasana tegang setiap kali pilihan raya diadakan.

“Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya, bermula dari masa Parlimen dibubarkan hingga ke hari mengundi.

“Pihak kami berpendapat akan timbul ketegangan dalam proses kempen pilihan raya kali ini, terutama jika pihak pembangkang menimbulkan provokasi dan cuba menganggu ceramah-ceramah yang diadakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

 ‘Jadi unit ini akan ditugaskan bagi memantau keselamatan petugas BN dan memastikan pihak lawan yang mempunyai Unit Amal dan sebagainya turut mematuhi peraturan keselamatan yang sedia ada,” katanya.

Remaja disaran aktif dalam kokurikolum

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Negeri sedia membantu dan menggalakkan persatuan beruniform dan belia di negeri ini yang berminat untuk mengadakan program termasuk kepada pihak sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kebiasaanya belia dan pelajar yang tidak terlibat dengan aktiviti kokurikulum dan juga unit-unit kesukarelawan mudah terjebak masalah sosial.

“Golongan remaja dan belia disaran melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan kesukanan yang secara tidak langsung mampu menerapkan nilai-nilai murni yang boleh membentuk jati diri mereka menjadi insan hebat.

“Bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu, kita bercadang memberi bantuan termasuk kewangn kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk disalurkan kepada sekolah bagi menjalankan aktiviti terutama kepada persatuan-persatuan beruniform yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Perkhemahan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) Peringkat Negeri di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Menurutnya,kerajaan juga sentiasa memberi kerjasama dengan memberi bantuan dari segi kewangan dan menyediakan kemudahan kepada kepada unit-unit yang ingin mengadakan program.

"Keutamaan diberi kepada pelajar sekolah menengah dan belia kerana peringkat usia begitu mereka mudah menerima apa yang disampaikan," katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula menular di Terengganu dengan menggunakan media sosial.

Namun ia masih terkawal melalui pemantauan yang dibuat serta mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kempen-kempen di sekolah agar tidak menyulitkan kerajaan hari ini.

 

KARISMA @Hati Rakyat Bantu Rakyat Miskin

Oleh: Mastura Jamaluddin

Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA @Hati Rakyat) yang merupakan satu inisiatif terbaru bagi membantu rakyat berpendapatan rendah, miskin dan tidak bernasib baik diperingkat akar umbi telah di lancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.

 Melalui program ini, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk diagihkan kepada 200,000 penerima diseluruh negara.

Penerima-penerima terbabit akan menerima baucer berjumlah RM200 bagi di Semenanjung dan RM300 di Sabah dan Sarawak secara one-off.

Baucer ini boleh digunakan bagi penebusan barangan keperluan rumah, kelengkapan sekolah, barangan dapur dan memasak dari kedai-kedai terpilih di seluruh negara.

Peruntukan RM50 juta ini adalah susulan daripada Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan akan diselaraskan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Yayasan Kebajikan Negara.

Di Parlimen Hulu Terengganu,pembahagian ini di pecahkan mengikut dewan undangan negeri( dun) dan akan di sampaikan oleh wakil rakyat masing-masing.

Menurut Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga(MPWK) Parlimen Hulu Terengganu ,Datuk Hajah Fatimah binti Hamat,program ini di khususkan kepada mereka yang tidak pernah menerima mana-mana bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau MAIDAM.

 “Untuk program Karisma @Hati Rakyat,kita perlu ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberi kecaknaan yang begitu hebat kepada rakyat Malaysia.Kita juga harus bersyukur kerana sebagai rakyat Terengganu,kita paling banyak menerima dana atau sumbangan berbanding negeri lain….dan hanya satu kebenaran yang kita tidak dapat nafikan iaitu semuanya kerana Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah. “Oleh sebab itu,saya menyeru tanpa was-was,berikanlah sokongan kepada kerajaan yang sedia ada kerana Barisan Nasional merupakan kerajaan terbaik apabila di berikan amanah untuk mentadbir Negara”

Nelayan Marang dapat elaun sara hidup.



Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 604 orang nelayan dalam Parlimen Marang mendapat elaun sara hidup daripada kerajaan Barisan Nasional sebanyak RM200 seorang di Dewan Pusat Sumber Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Program ini dirasmikan oleh YB. Dato’HajiYahya Khatib Mohamad, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Marang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Turut hadir dalam program ini adalah YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman, Bakar Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Pengarah LKIM Negeri Terengganu, Encik Wei Fu Kui Pengurus AmBank (M) Berhad Kawasan Terengganu dan Kelantan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Dato’ Yahya Khatib dalam ucapannya berharap warga nelayan memberi sokongan secara berterusan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau berharap lebih banyak lagi bantuan akan diberikan oleh kerajaan apabila mandat diberikan kepada Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti.

Beliau juga berharap tidak akan berlaku kekacauan dan pergaduhan dalam PRU 13 akan datang dan berikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.