Halaman

14 March 2013

Kerajaan tubuh Internasional Imtiaz di Besut

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu akan mewujudkan Internasional Imtiaz School (IIS) bertempat di Bukit Keluang, Besut tidak lama lagi dalam usaha menyebarluaskan produk pendidikan negeri di mata dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sekolah itu juga diwujudkan atas permintaan ibu bapa yang berpendapatan tinggi dari dalam dan luar negeri.

“Kita ada menerima permohonan dari dalam dan luar negara termasuk Brunei Darul Salam yang tertarik dengan sistem pembelajaran di Imtiaz dan menyatakan minat menghantar anak mereka,” katanya kepada pemberita di majlis Apresiasi Anjung Ilmu Kecemerlangan UPSR dan PMR 2012 dan Pelancaran Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular (5P2M) di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Katanya, lima buah sekolah Imtiaz yang ada hanya mampu menampung 400 pelajar setiap tahun sedangkan permohonan yang diterima daripada ibu bapa melebih 2,000.

“Kira-kira 40 peratus daripada permohonan kemasukan ke Imtiaz yang terpaksa ditolak pada setiap tahun melibatkan ibu bapa pelajar yang berpendaptan melebihi RM5,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan fakta tersebut kerajaan negeri berpendapat penubuhan IIS akan memberi peluang kepada ibu bapa berkenaan untuk menempatkan anak mereka di Imtiaz.

Tambahnya, IIS akan menggunakan konsep sekolah swasta di mana ibu bapa akan dikenakan bayaran bagi setiap kemasukan anak-anak mereka di sini namun kadar yang akan dikenakan belum diputuskan.

Kuala Terengganu bakal menjadi bandar ala Dubai

Menteri Besar ketika Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) bakal melonjak kedudukan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air sekaligus muncul bandar ala `mini Dubai’ di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Komponen projek KTCC melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan dengan kos RM7 bilion meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersial serta hab pendidikan dan kesihatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata satu daripada projek komersial berimpak tinggi yang bakal dibangunkan di muara selatan KTCC adalah KTCC Mall Sdn Bhd dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.

Lakaran artis KTCC Mall
“KTCC Mall akan disiapkan dalam masa tiga tahun, manakala di muara utara pula memakan masa lima hingga 10 tahun untuk bangunkan seluruh kawasan itu dari sekarang.

“Selain itu, kerja pembinaan `KTCC drawbridge’ (jambatan angkat) yang menyambung muara utara dan selatan ini akan ditender pada Jun, diikuti satu lagi projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat yang juga sudah ditutup tendernya.

“Sementara itu, kita turut melantik pemaju bagi pembinaan hotel dan apartment di kawasan ini, di samping kita turut menguruskan projek pelaburan di muara utara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, hari ini.



“Dengan adanya kemudahan boling dan panggung wayang itu , penduduk sekitar terutama dari Kuala Terengganu tidak lagi perlu ke Kemasek (Mesra Mall, Kemaman). Ini menjadi satu lagi alternatif yang baru untuk pengunjung beriadah bersama keluarga termasuk untuk menyertai permainan boling. Malah, kejohanan (boling) juga boleh dilaksanakan di gelanggang itu nanti tanpa perlu ke (pusat boling) Kuantan.

 “Kewujudan pusat beli-belah yang lebih besar dengan tawaran pelbagai barangan berjenama juga dapat mengelak penduduk daripada ke (pusat beli-belah) Kuala Lumpur lagi selepas ini,” katanya.

KTCC Mall merupakan komponen di bawah projek bersepadu KTCC yang dibangunkan ECER di kawasan pesisir pantai Kuala Terengganu dengan keluasan ruang peruncitan 750,000 kaki persegi, Hotel Novotel dilengkapi 250 bilik penginapan dan dua menara yang menempatkan 250 ruang perniagaan mewah secara keseluruhannya.

Bangunan kompleks beli-belah itu dijangka siap pada suku keempat tahun depan, manakala hotel dan ruang perniagaan mewah dijangka siap 2016.

 

RM13 juta bantu 2,000 usahawan

Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengeluarkan bantuan pembiayaan lebih RM13 juta kepada 2,000 usahawan seluruh negeri bagi membantu perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, kira-kira 1,724 lagi usahawan baru telah dikenalpasti serta berdaftar dengan YPU.

“Kita akan bantu usahawan dari segi pembangunan produk, memberi kemudahan pinjaman mikro, pemantauan dan penilaian terhadap projek-projek usahawan,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Karnival dan Forum Usahawan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Padang Hiliran hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik; Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Pengarah Kanan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Dato’ Dzulkifli Mohmud.

Menurutnya, tiga faktor utama mendorong seseorang individu itu menceburi bidang keusahawanan ialah dasar kerajaan itu sendiri, pendidikan dan latihan formal serta sokongan kerajaan dalam bentuk infrastruktur termasuk kemudahan kewangan.

 “Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi mempromosi dan memasarkan produk mereka termasuk menyertai pameran perdagangan domestik di Johor, Miri, Kota Kinabalu dan bagi usahawan yang berpotensi tinggi kita bawa ke pameran antarabangsa seperti di Dubai dan Perth,” katanya.

Menurutnya, satu program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (PKPP) mula dilaksanakan untuk melahirkan usahawan IKS yang berdaya saing di peringkat domestik dan global.

“Program ini yang dikenali sebagai Program Groom Big (PGB) mampu mempertingkatkan kedudukan sesebuah syarikat peringkat mikro, kecil dan sederhana yang bersedia untuk mengeksport produk dan perkhidmatan hingga ke peringkat global,” katanya.

Pada karnival yang berlangsung tiga hari itu dua kertas kerja turut dibentang bertajuk ‘Usaha YPU Dalam Melahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi’ oleh haji Azmi Razik dan ‘Potensi Pasaran Eksport Produk dan Perkhidmatan ke Negara Asean dan Asia Pasifik’ oleh Dato’ Dzulkifli Mahmud.

 

Promosi Kenyir Melalui Kejohanan Bertaraf Antarabangsa

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Kenyir Lake International Triathlon 2013 ( KLIT ) merupakan salah satu usaha berterusan mempromosikan destinasi pelancongan

Tasik Kenyir yang berkonsepkan ‘ Taman Pelancongan Akua –Eko ‘ dengan menjadikan KLIT ini sebagai salah satu elemen serta produk untuk menarik dan meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir. Penganjuran acara ini dapat mempopularkan lagi Tasik Kenyir bukan hanya sebagai kawasan pelancongan tetapi ianya juga merupakan destinasi pelancongan yang sesuai untuk dijalankan pelbagai aktiviti sukan.

 Penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa ini dapat merealisasikan gagasan 1Malaysia di mana peserta akan bertanding mengikut kategori tanpa mengira bangsa dan negara.

Ini dapat menggalakkan budaya dan amalan hidup sihat bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan bersemangat waja.

Salah seorang peserta yang berjaya mendapat pertama dalam kategori wanita 36 tahun ke atas,Patricia Combrink yang berasal daripada Netherlands berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai kejohanan KLIT ini apabila terbaca di laman web.

 “Saya pasti akan datang ke KLIT kerana ianya sungguh mencabar semangat saya sebagai ahli sukan, lebih-lebih lagi ianya di adakan di Tasik Kenyir.

 “Saya sungguh teruja menyertai kejohanan ini apabila saya melalui acara berenang di tasik yang airnya jernih dan bersih,berbasikal dan berlari melalui kawasan yang udaranya bersih serta menyegarkan di samping menikmati panorama yang mengasyikkan.Segala-galanya di Tasik Kenyir...”kata beliau selepas menerima hadiah kemenangan ketika di temui Teganu Kita.

13 March 2013

KIST tawar empat bidang baru penuhi pasaran kerja

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu mengorak langkah memperkenalkan empat kursus baru bagi memastikan graduan pusat pengajian itu nanti mampu memiliki kerjaya lebih baik dan memenuhi kehendak pasaran kerja masa kini.

Program pengajian yang ditawarkan di peringkat diploma itu membabitkan bidang Pengajian Syariah, Pengurusan Pemakanan Halal, Psikologi Kanak-Kanak dan Kewangan Islam.

Ketua Eksekutifnya, Encik Mohd Norizal Nawang, berkata bagi pengambilan pertama, seramai 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih untuk mengikuti kursus berkenaan sebelum ditambah secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kemudahan prasarana dan tenaga pengajar yang ada di KIST.

"Untuk peringkat pertama kita buka sejak Februari lalu kepada 200 pelajar sahaja kerana bilangan tenaga pengajar dalam bidang ini agak terhad iaitu lapan orang. "KIST akan mengkaji dan bersedia menambah jumlah pelajar dari semasa ke semasa jika dapat sambutan yang positif, selain cuba menyediakan lebih ramai pensyarah di bidang berkenaan," katanya selepas Majlis Penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), di KIST Kuala Berang, hari ini.

Seramai 604 pelajar menerima BBIM yang disampaikan oleh Naib Presiden Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam KIST, Roomai Nor Ali.

Encik Mohd Norizal berkata, penawaran kursus baru berkenaan mampu membuka peluang untuk graduan KIST mendapat kerjaya yang menepati permintaan pasaran kerja masa kini.

"Semua program ini hanya ditawarkan di KIST cawangan Terengganu kerana ia bersesuaian dengan pembangunan kerjaya dan potensi bidang di kawasan ini.

 "Bidang pemakanan halal umpamanya semakin berkembang maju dan menyediakan jutaan peluang pekerjaan kepada graduan bukan sahaja dalam negara malah di negara luar dan kita juga tidak mahu ketinggalan dalam merebut peluang itu," katanya.

KIST Terengganu menawarkan 10 bidang pengajian dalam bidang diploma termasuk empat kursus baru  serta melibatkan 800 pelajar sejak ditubuhkan empat tahun lalu.


Cabaran mendaki Gunung Berembun edisi ketiga 16 Mac ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara (PKN) bakal menganjurkan larian mendaki Gunung Berembun edisi ketiga menerusi program ‘Terengganu International Mount Berembun Challenge 2013’ pada 16 Mac ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, Gunung Berembun yang berketinggian 1,108 meter / 3,405 kaki terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong di dalam Hutan Simpan Pasir Raja Dungun, Terengganu turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, iaitu 305 meter.

Katanya, antara objektif penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan Gunung Berembun, Hutan Lipur Air Terjun Chemerong dan kawasan sekitarnya sebagai tempat terkenal bagi aktiviti sukan lasak dan rekreasi di negeri ini.

"Program ini diharap menjadi salah satu acara dalam kalendar Sukan Pelancongan Negeri Terengganu yang dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negeri.

"Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk rasa cinta semua pihak yang terlibat dengan program ini terhadap alam semulajadi,” ujarnya pada sidang media Terengganu International Mount Berembun Challenge 2013, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, trek pelumbaan bagi semua peserta akan bermula dari Hutan Lipur Air Terjun Berembun menuju ke ‘Check point’ yang ditetapkan mengikut kategori masing-masing di mana hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM 37,860.00 menanti pemenang bagi tujuh kategori yang dipertandingkan.

"Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori terbuka lelaki antarabangsa, terbuka lelaki, wanita antarabangsa, terbuka wanita, terbuka veteran lelaki, terbuka remaja lelaki/wanita dan tertutup Terengganu lelaki/wanita.

"Manakala yuran penyertaan bagi kategori terbuka lelaki adalah RM60, terbuka wanita/ veteran lelaki RM50, tertutup Terengganu lelaki/wanita RM45, terbuka remaja lelaki/wanita RM 40 dan terbuka antarabangsa lelaki/wanita RM100,” ujarnya.

Menurut Dato’ Rahin, sasaran penyertaan program ini cuma 500 orang tetapi ia mendapat sambutan menggalakkan di mana setakat ini penyertaan peserta telah melebihi 500 orang.

Tambah beliau, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan larian tersebut termasuk pertandingan masakan ‘Master Chef kampung’, merentas desa, mewarna kanak-kanak, ‘volunteer tourism’, kuiz pelancongan, kembara media dan persembahan kebudayaan.


Malah, program turut mendapat sokongan rakan penaja utama seperti Milo, Nestle Cereal Fitness, 100 Plus, Hi-Tech, Core Zone, My Sock dan Majalah Santai.

Kepada yang berminat untuk menyertai larian ini boleh dapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.kembaranegara.com. Semua borang hendaklah diserahkan bersama yuran penyertaan dan bayaran boleh dibuat secara tunai/wang pos/cek diatas nama (KOC OUTDOOR CENTRE & ENTERPRISE –AFFIN BANK : 100300155717) selewat-lewatnya pada 13 Mac 2013.

Untuk keterangan lanjut hubungi sekretariat Mount Berembun Green Challenge 2013:

PERSATUAN KEMBARA NEGARA (PKN)
No 11, Jalan 14/1 Taman Tun Abdul Razak
68000, Kuala Lumpur

Fax : +603 4252 3743
Emel : kembara.event@gmail.com
FB : Terengganu Mount Berembun Green Challenge atau

Muhammad Rafi : +6012 371 5412
Afnal : +6012 202 2644
Dilla : +6012 698 6270

 

Anugerah Anjung Ilmu MB pemangkin kejayaan pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Anugerah Anjung Ilmu Menteri Besar julung kali diwujudkan sebagai pemangkin dalam peningkatan pencapaian sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri tahun ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata, tanpa kecaknaan dan komitmen yang tinggi daripada kerajaan tidak mungkin kejayaan dapat diraikan bersama.

“Semua warga pendidik sedang mengalas misi Terengganu Negeri Anjung Ilmu 201052 dan fokuskan hala tuju anak didik kita untuk mengapai kejayaan,” katanya di majlis Apresiasi UPSR dan PMR Terengganu Anjung Ilmu dan Pelancaran Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular (5P2M) di Wisma Darul Iman.

Teks ucapan beliau di bacakan oleh Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN) Haji Mohd Zuber Embong.

Katanya, pelbagai kategori anugerah diberikan kepada sekolah dan PPD termasuk PPD Unggul, PPD Lestari, Sekolah Unggul, Sekolah Anjung Ilmu (capai 20 dan 10 peratus UPSR dan PMR).

Menurutnya, pemilihan bagi semua penganugerahan itu berdasarkan pencapaian peratusan semua A yang memenuhi hasrat kerajaan di bawah gagasan 201052.

“Saya beharap anugerah yang diadakan menjadi daya saing yang sihat antara kita untuk meneruskan usaha bersungguh bagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan 76 buah sekolah seluruh negeri termasuk 21 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah telah berjaya mencapai sasaran kerajaan dalam peperiksaan awam di peringkat PMR dan UPSR tahun lalu.

Sekolah Kebangsaan Tapu, Hulu Terengganu telah menerima Anugerah Anjung Ilmu Menteri Besar bagi ketegori UPSR manakala Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud kategori PMR masing-masing menerima wang tunai RM10,000.

 

Tawaran istimewa kepada peminjam YT

Dato' Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman.
Oleh: Suriati Ali

 Lebih 3,000 pelajar yang diberi pinjaman Yayasan Terengganu (YT) layak menikmati potongan 20 peratus jika membayar balik pinjaman itu secara penuh.

 Pada masa yang sama potongan 10 peratus diberi kepada peminjam yang membuat bayaran secara ansuran selama 12 bulan berturut-turut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, melalui tawaran istimewa itu juga mereka yang disenarai hitam juga layak menikmati tawaran itu yang berkuatkuasa mulai 1 April hingga 31 Disember 2013.

“Peminjam perlu mendapatkan pengesahan baki sebenar hutang masing-masing daripada YT sebelum membuat bayaran.

“Setiap pembayaran boleh dibuat melalui semua saluran yang telah ditetapkan. Penyata bayaran hendaklah dihantar ke YT melalui e-mail atau faksimili, kecuali bayaran secara tunai perlu dibuat di kaunter bayaran YT,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pendekatan itu mampu menarik minat dan menggalakkan peminjam membayar balik hutang dan baki yang tertunggak.

“Apa yang dilaksanakan ini mengikut kaedah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan kadar potongan sama,” katanya.

Beliau turut memberitahu kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada dua keluarga anggota pasukan keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 21 Mac ini.

 Setiap keluarga anggota yang terkorban layak menerima sumbangan RM50,000 dan diserahkan sendiri oleh Dato’ Seri Ahmad.

Dua anggota keselamatan kelahiran Terengganu yang terkorban dalam insiden itu ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, anggota Komando VAT 69, berasal dari Kampung Kubang Ikan, Jerteh.

 Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Nor Aziah Noor dan dua anak lelaki, Noor Aqmar Amiruddin, 4 dan Noor Muhammad Akil satu tahun.

 Seorang lagi mangsa ialah Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52, anggopta Cawangan Khas Bukit Aman yang berasal dari Jabi, Besut. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosiah Dahlan serta tiga anak berusia 17 hingga 22 tahun.

 

Hapus cukai pintu, usaha perbodohkan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas yang terdesak meraih undi rakyat negeri ini bukan sahaja sanggup menanam api kebencian kepada rakyat supaya menidakkan keupayaan Kerajaan Barisan Nasional (BN), malah turut menipu rakyat dengan menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Pas berusaha menarik perhatian rakyat dengan menafikan dasar dan undang-undang termasuk memutuskan cukai pintu dihapuskan ketika pemerintahan parti itu pada 1999-2004 lalu.

Katanya, jika pemansuhan itu satu perkara yang boleh dilaksanakan oleh pembangkang, pastinya negeri yang ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan turut melaksanakan perkara itu.

“Ini akta. Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa mana-mana enakmen yang diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didapati bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen automatik enakmen berkenaan akan gugur.

 “Enakmen tidak laku kerana akta mengatasi enakmen. Tidak timbul pun negeri lain mahu menghapuskan cukai pintu. Terengganu sahaja `sombong’, konon banyak pitih. Masa memerintah Terengganu (1999-2004) mereka sama sekali tidak boleh menghapuskan cukai pintu, berikutan ia tidak boleh diluluskan di DUN mengikut Akta 131 kerana bercanggah di Parlimen,” katanya.

 Katanya, Pas terpaksa `memperbodohkan’ dan menipu rakyat bagimenambat hati pengundi supaya memihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, sedangkan mereka tidak mampu mengotakan apa yang dijanjikan ketika itu.

“Ketika memerintah Terengganu dahulu, Pas bertindak membiarkan sahaja cukai pintu bertambun-tambun dalam stor di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk. Akhirnya bayaran itu menjadi tunggakan,” katanya.

 Malah, implikasi daripada tindakan tidak berasas pembangkang ketika itu menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan yang mencukupi, sekaligus mengakibatkan Kerajaan Pas gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membersih sampah-sarap di kawasan perbandaran masing-masing.

 Janji untuk mengecualikan cukai pintu kediaman itu pernah disuarakan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas PRU13. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu yang ada dan tunggu sehingga Pas memenangi PRU13 itu sedangkan sejarah lalu membuktikan dasar yang dibuat itu tidak berhasil, melainkan sekadar menipu rakyat.


KENANGAN YANG PAHIT...

Oleh: Lan Bayu



Masa berlalu, tetapi sejarah tidak boleh ditipu.

Tanah dan kebun yang diusahakan oleh rakyat sebelum 1999 dirampas dan dimusnahkan.

Itulah zaman derita dan kegelapan Terengganu yang tidak pernah dilupa oleh rakyat. Mereka merasakan, bila berkuasa boleh buat segala-galanya.

Boleh rampas dan halau sesiapa sahaja.

Namun begitu segala apa yang dilakukan tidak boleh disembunyikan...surat-surat dan keputusan mesyuarat tetap ada di dalam rekod di jabatan kerajaan.

Hendak nafikan....ia hanyalah suatu pembohongan kerana fakta dan sejarah tidak boleh ditipu.

Kini datanglah dengan segala janji-janji manis!