Halaman

20 March 2013

OUM tawar kursus usahawan bertaraf diploma

Oleh; Esah Abdullah

Uiniversiti Terbuka Malaysia (OUM) menawarkan kursus bimbingan bertaraf diploma bagi bidang pemasaran dan asuhan awal kanak-kanak.

Pengerusi OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuar Ali berkata, kursus akan dijalankan pada setiap hujung hujung minggu mengambil masa 10 bulan yang akan diadakan di Kompleks Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT).

“Pengambilan pertama dijangka akan dibuat mulai Jun depan,” katanya kepada pemberita di majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara YPU dan OUM di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran.

Majlis MoA itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Dato’ Haji Mohamad Awang Tera manakala YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Haji Azmi Razik.

Katanya, setiap kursus akan memilih 25 peserta dan mereka yang terpilih akan mendapat tajaan daripada Mara,” katanya.

Menurutnya, program ini pertama kali diadakan di negeri ini dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan dengan YPU.

 

TPM lawat Terengganu Jumaat ini

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (gambar) akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu, Jumaat ini (22 Mac).

Beliau dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman akan menaiki pesawat khas dari TUDM Subang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.30 tengahari.

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Petai Bubus, sebelum hadir Majlis Jamuan Rakyat.

Selesai majlis itu, beliau akan hadir di Himpunan Rakyat 1Malaysia yang diadakan di padang bola Rhu Rendang, Marang, kira-kira jam 3 petang.

Kira-kira 30,000 orang dijangka hadir di majlis itu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional dan pemimpin negeri.

DEMO PEMBANGKANG TIADA SAMBUTAN, KEHADIRAN TIDAK SAMPAI SERIBU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Noraini Jusoh

Pembangkang menerima tamparan hebat hari ini 20 Mac 2013, apabila demonstrasi di depan Wisma Darul Iman yang dianjurkan tidak mendapat sambutan ramai.

Pihak penganjur yang cuba menghimpun orang ramai sejak malam tadi dengan membuat khemah untuk tidur di tepi stadium tetapi malangnya kehadiran didapati kurang dari seribu iaitu hanya beberapa ratus orang sahaja.

Kelibat pemimpin utama Pas juga tidak kelihatan, kemungkinan beberapa orang wakil rakyat Pas sudah menyedari tiada sambutan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak hadir bersama pengikut mereka.

Tindakan sebahagian penyokong Pas dan pembangkang memanjat pagar Wisma Darul Iman dan merosakkan lanskap di depan pusat pentadbiran kerajaan negeri itu juga adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dengan niat yang baik datang menemui penyokong Pas itu untuk mendengar dan menerima apa yang hendak disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Menteri Besar dan Ahli-ahi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedang bermesyuarat mingguan pada waktu itu.

Tindakan membuat halangan di pintu masuk utama juga menyebabkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan di pusat pentadbiran itu tidak dapat masuk ke Wisma Darul Iman, malah pegawai serta kakitangan yang ada urusan tugas di luar terpaksa membatalkan tugasan.

Sampah sarap dan sisa sisa makanan dibuang di merata-rata sejak malam tadi di atas lanskap dan hiasan berdekatan juga telah menampakkan betapa pengikut pembangkang ini tidak disiplin dan tidak mempunyai akhlak yang baik.

 

Kerajaan lanjut tempoh bayar cukai tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah kepada penduduk negeri ini selama dua bulan lagi dari 31 Mei kepada 31 Julai 2013.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebelum ini penduduk tempatan perlu menjelaskan bayaran cukai tanah mereka sehingga 31 Mei atau dikenakan denda jika pembayaran dilakukan selepas tarikh itu setiap tahun.

 “Sebagaimana tahun-tahun lalu, mesyuarat exco membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah tanpa denda bagi 2013.

“Biasanya cukai tanah hendaklah dibayar sehingga 31 Mei setiap tahun, tetapi menjadi tradisi tidak lama dulu kita lanjutkan sampai 31 Julai. Maknanya kita beri tempoh dua bulan lagi menyebabkan mereka tidak perlu membayar denda (jika bayaran selepas 31 Mei),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah .

Menteri Besar berkata,  keputusan melanjutkan tempoh itu bagi menggalakkan dan memberi peluang kepada ramai penduduk Terengganu menjelaskan cukai serta mengelak dari didenda sekiranya lewat membayar mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, kadar cukai tanah di Terengganu amat rendah berbanding negeri lain, malah ada yang hanya dikenakan kadar serendah RM2 hingga RM5 setahun sahaja.

 “Sehingga kini, hanya 60 hingga 70 peratus penduduk menjelaskan cukai tanah di Terengganu. Kita paling murah dan tidak menaikkan kadar cukai sejak dulu lagi. Hanya RM3 , RM5 pun masih ada. Malah, RM2 pun ada.

“Macam di Kuala Lumpur satu lot tanah berapa ratus ringgit cukai tanah yang perlu bayar. Bagaimanapun, itu pun masih ramai penduduk Terengganu tidak menjelaskannya dan kita minta supaya mereka membayar cukai tanah masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Terengganu mampu memungut hasil cukai tanah sehingga RM28 juta setahun jika seluruh rakyat menjelaskan cukai berkenaan.

“Sebab itu kita tidak boleh hanya mengharapkan cukai pintu dan cukai tanah. Kerajaan terpaksa bantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Macam di Kuala Lumpur, PBT dapat kumpul cukai tanah RM100 juta lebih, selain Shah Alam, Kelang, Ampang Jaya, semua dapat kumpul RM100 juta.

 “Kita di (PBT) Setiu tidak sampai RM100,000 setahun. Hendak bayar gaji Yang Dipertua pun tidak mampu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos (pentadbiran) berkenaan,” katanya.


Pangsapuri Ladang Gemilang beri keselesaan kepada penghuni

Oleh: Suriati dan Aida Abd Rahman 

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh kesal dengan sikap pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang, Kuala Terengganu mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni.

 “Tidak guna puak pembangkang memutarbelitkan keistimewaan pangsapuri itu melalui mana-mana saluran tanpa usul periksa. “Cuba terang kepada saya, apa yang tidak puas hati tentang pembinaan itu, saya boleh jelaskan semuanya berdasar fakta,” katanya.

Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil. “Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Katanya, berkaitan harga sewa RM300 sebulan yang dikatakan mahal itu adalah tidak benar. , ia jauh lebih murah kerana mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 “Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan, mereka yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

 “Apabila penghuni itu membayarnya secara teratur dan berdisplin sepanjang tiga tahun, ia layak memohon untuk menukar syarat rumah kepada sewa beli,” katanya.

 Katanya, kerajaan terpaksa meletakkan peraturan seumpama itu bagi mengelak pemilik memberi sewa dan menjualnya kepada orang lain atau penduduk luar.

 

19 March 2013

Penyokong Pas mula beralih angin pada PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Semakin ramai penyokong Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu cenderung memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang berdasarkan kepada sambutan yang ditunjukkan golongan itu dalam siri ceramah BN di kawasan itu kebelakangan ini.

Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin respon positif sekumpulan penyokong pembangkang itu membuktikan kebangkitan dan aliran peralihan sokongandi kalangan rakyat yang mula sedar kepincangan dalam Pas.

“Peralihan sokongan itu terbukti apabila dalam program anjuran BN seperti siri ceramah walaupun secara kecil-kecilan bukan sahaja dihadiri penyokong kerajaan, malah penyokong Pas juga sudah mula menunjukkan minat mereka.

 “Mereka sudah datang secara perlahan-lahan dan menunjukkan mereka mula membuka mata untuk menyokong BN. Malah, mereka juga semakin memahami fakta sebenar sebalik isu semasa menerusi ceramah yang kita laksanakan dari semasa ke semasa ,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Wan Hisham berkata, trend semasa memperlihatkan penghijrahan sokongan yang berlaku secara senyap mahupun terbuka itu adalah disebabkan kekuatan BN sendiri yang terbukti benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat.

Beliau turut tidak menolak majoriti daripada kira-kira 20,000 pengundi berdaftar di DUN itu akan memihak BN dan mengembalikan kerusi itu kepada kerajaan pada PRU13 nanti.

“Kita berlaku adil dalam pengagihan kebajikan walaupun menyedari mereka penyokong Pas. Berdasarkan perkembangan positif itu, kita yakin BN akan menguasai DUN Ladang semula pada PRU nanti,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja penyokong pembangkang, kira-kira 4,000 hingga 5,000 pengundi baru mendaftar juga dilihat lebih cenderung menyokong BN pada PRU13 nanti berikutan golongan itu menikmati pelbagai manfaat terutama bantuan berkonsepkan 1Malaysia.

 

Ayamazz buka peluang kepada usahawan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Haji Uzir Abdul Samad
Rakyat Terengganu yang berminat menceburi bidang keusahawanan tidak harus melepaskan peluang untuk menerokai perniagaan berasaskan makanan segera apabila Ayamazz Sdn Bhd bakal menawarkan peluang keemasan kepada mereka.

Ayamazz Sdn Bhd telah melantik Jati Bestari Sdn Bhd untuk memasar dan mempromosikan Ayamazz Roti Impit termasuk promosi, pengiklanan serta membuka lebih banyak kios Ayamazz Roti Impit di seluruh negara termasuk di negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Koperasi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (KOPUTERA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jati Bestari Sdn Bhd bagi projek Ayamazz Roti Impit, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jati Bestari Sdn Bhd, Haji Uzir Abdul Samad berkata, tiga pakej ditawarkan kepada usahawan yang berminat memulakan perniagaan Ayamazz Roti Impit.

"Pakej pertama ialah mini kiosk yang bernilai RM28,000, kedua kioks bernilai RM118,000 dan ketiga mini van bernilai RM128,000 dengan segala alat kelengkapan.

"Latihan dan nasihat turut diberikan kepada usahawan selain pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.


Ayamazz Roti Impit menawarkan program pelesenan pada kos berpatutan kepada semua warganegara Malaysia untuk memulakan perniagaan.

Ayamazz Roti Impit atau ‘Frank Buns’ adalah snek berasaskan konsep grab-and-go. Ia disediakan dalam tiga pilihan iaitu keju, cendawan dan lada hitam, Roti Impit disediakan dengan mengukus frankfurter dan roti serta dituang dengan sos Chillimayo yang direka khas.

Haji Uzir berkata, pihaknya merancang untuk meneroka pasaran terbuka secara agresif tahun ini dengan menyasar membuka 100 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

 

Puteri Umno makin rancak turun padang

Oleh: Gelombang biru 

 Pergerakan Puteri Umno Terengganu semakin rancak turun padang untuk bertemu rakyat di seluruh Terengganu bagi mengeratkan hubungan, sekali gus memperkemaskan strategi sebelum menghadapi ‘perperangan’ pilihan raya umum akan datang.

 Ketua pergerakan itu, Puan Nordiana Dato’ Shafie, berkata pada masa sama, pihaknya dapat mengesan setiap masalah rakyat serta menyelesainya dengan kaedah terbaik, selain menyakinkan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

 “Program seumpama ini menjadi peluang terbaik bagi mendengar isi hati dan pandangan mengenai sesuatu perkara seterusnya dilaksanakan demi kebaikan bersama.

“Rakyat kini sudah bijak menilai mana parti yang boleh diharap atau parti yang hanya pandai berceramah dan menabur janji ,” katanya Menurutnya, dia percaya undi populariti BN akan terus meningkat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding 56 peratus PRU pada 2008.

 “Keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi muda di samping tindakan keluar parti ramai penyokong pembangkang khususnya Pas di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

 “Jelas beliau pembangkang di negeri ini cukup terdesak dan bangkrap isu untuk berdepan BN sehingga sanggup memperbodohkan ahli mereka sendiri terhadap beberapa program yang diadakan UMNO termasuk program Selamat Tinggal Pas.

 "Selain ketandusan isu mereka cuba menenangkan penyokong mereka yang lain setelah ramai ahli mereka bertindak keluar parti", katanya.

 

Rela pelawa belia serta Skuad Muda

Oleh; Esah Abdullah

Belia lepasan sekolah di negeri ini dipelawa menyertai anggota Rela untuk membolehkan membina jati diri serta memupuk semangat kesukarelawan membantu masyarakat ketika ditimpa bencana.

Che Mohammat serah pakaian seragam kepada seorang anggota Rela
Penolong Pegawai Rela Daerah Setiu, Mejar (Rela) Che Mohammat Ropi Makhtar berkata, Rela kini mewujudkan Skuad Muda untuk mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun dan Skuad Remaja terbuka kepada remaja berusia 18 hingga 21 tahun.

“Manakala mereka yang berusia 31 hingga 58 tahun boleh menjadi Anggota Rela biasa,” katanya di Majlis Dialog dan Penyampaian Pakaian Seragam Rela di Balai Raya Kampung Hilir Darat, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Katanya, anggota Rela yang lama atau yang baru menyertai skuad muda remaja akan mengikuti sekurang-kurangnya 15 siri kursus yang diadakan setiap hujung minggu dalam usaha memantapkan anggota ketika berdepan dengan tugas mengawal ketenteraman masyarakat.

 “Walaupun anggota kita hanya berstatus sukarelawan namun mereka diberi elaun RM6 bagi setiap jam mengikut waktu bertugas,” katanya.


Menurutnya kini anggota Rela telah diberi kepercayaan membantu pasukan keselamatan untuk mengawal tempat-tempat tumpuan awam serta memantau keselamatan kawasan sekolah dan pelajar ponteng.

Tambahnya, jumlah anggota Rela Kawasan Batu Rakit kini berjumlah kira-kira 2,000 orang dan 80 orang anggota baru telah menerima pakaian seragam masing-masing dalam majlis yang diadakan itu.




PENYOKONG TEGAR PAS HULU BESUT SERTAI UMNO

Ruslan Abdul Rahman, melaporkan:


Penyokong tegar Pas di Hulu Besut telah meninggalkan parti itu dan menyertai Umno kerana menyedari Pas semakin terpesong setelah berpakat dengan kafir harbi DAP.

Dulu mereka menyokong Pas kerana Pas itu Islam, tetapi sekarang sudah jelas bahawa Islam bukan lagi menjadi perjuangan Pas, malah Islam dipinggirkan dan imej Islam dirosakkan setelah tunduk kepada DAP.

Malam tadi, 19 Mac 2013, seramai 30 orang penyokong tergar Pas di Kg Cegar Batang, Jalan Pasir Akar Hulu Besut yang menyertai Umno malam tadi 19 Mac 2013. Adun BN Hulu Besut, YB Nawi telah menerima borang keahlian 30 penyokong Pas tegar dari kampung itu dalam satu majlis di rumah salah seorang yang terlibat dinelai sebagai Pak Da Soh (Jusoh bin Yaakob) dan isterinya Saadiah.

Timbalan ketua Umno Bahagian, YB Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun BN Hulu Besut telah menerima boring-borang menyertai Umno dari penyokong tegar Pas di kampong itu. YB Nawi dalam ucapannya menyifatkan kemasukan penyokong Pas tegar itu ke dalam Umno menunjukkan ramai di kalangan orang-orang Pas sudah melihat perjuangan Pas sudah terpesong kerana berpakat dengan Dap dan PKR.

Beliau berkata, ramai lagi penyokong Pas datang menemuinya untuk menyertai Umno dan majlis akan diatur di rumah penyokong itu sendiri.

Sementara itu, penceramah dari ulamak pondok Kelantan, Ustaz Samsul Al Hafiz menyatakan bahawa Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat sudah banyak memesongkan ajaran Islam yang sebenar.

Ini termasuklah dalam isu kalimah Allah, di mana Nik Aziz adalah di antara yang bersetuju supaya kalimah itu digunakan dalam kitab Kristian dan semua rakyat Kelantan mengetahuinya.

“Kononnya persetujuan itu atas dasar dakwah,tetapi setelah keadaan terdesak beliau membuat pusingan U ,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan Nik Aziz telah menghina Rasulullah s.aw kerana menyamakan dengan Mat Mat di kampung-kampung sedangkan semua orang tahu Nabi Muhammad itu maksum sejak awal lagi.

Beliau menyifatkankan, tahaluf siasi atau pakatan politik Pas dan Dap telah menyebabkan Pas tunduk kepada Dap termasuk dalam soal-soal keagamaan dan merosakkan masa depan Islam di negara ini.