Halaman

20 March 2013

Kerajaan lanjut tempoh bayar cukai tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah kepada penduduk negeri ini selama dua bulan lagi dari 31 Mei kepada 31 Julai 2013.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebelum ini penduduk tempatan perlu menjelaskan bayaran cukai tanah mereka sehingga 31 Mei atau dikenakan denda jika pembayaran dilakukan selepas tarikh itu setiap tahun.

 “Sebagaimana tahun-tahun lalu, mesyuarat exco membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah tanpa denda bagi 2013.

“Biasanya cukai tanah hendaklah dibayar sehingga 31 Mei setiap tahun, tetapi menjadi tradisi tidak lama dulu kita lanjutkan sampai 31 Julai. Maknanya kita beri tempoh dua bulan lagi menyebabkan mereka tidak perlu membayar denda (jika bayaran selepas 31 Mei),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah .

Menteri Besar berkata,  keputusan melanjutkan tempoh itu bagi menggalakkan dan memberi peluang kepada ramai penduduk Terengganu menjelaskan cukai serta mengelak dari didenda sekiranya lewat membayar mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, kadar cukai tanah di Terengganu amat rendah berbanding negeri lain, malah ada yang hanya dikenakan kadar serendah RM2 hingga RM5 setahun sahaja.

 “Sehingga kini, hanya 60 hingga 70 peratus penduduk menjelaskan cukai tanah di Terengganu. Kita paling murah dan tidak menaikkan kadar cukai sejak dulu lagi. Hanya RM3 , RM5 pun masih ada. Malah, RM2 pun ada.

“Macam di Kuala Lumpur satu lot tanah berapa ratus ringgit cukai tanah yang perlu bayar. Bagaimanapun, itu pun masih ramai penduduk Terengganu tidak menjelaskannya dan kita minta supaya mereka membayar cukai tanah masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Terengganu mampu memungut hasil cukai tanah sehingga RM28 juta setahun jika seluruh rakyat menjelaskan cukai berkenaan.

“Sebab itu kita tidak boleh hanya mengharapkan cukai pintu dan cukai tanah. Kerajaan terpaksa bantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Macam di Kuala Lumpur, PBT dapat kumpul cukai tanah RM100 juta lebih, selain Shah Alam, Kelang, Ampang Jaya, semua dapat kumpul RM100 juta.

 “Kita di (PBT) Setiu tidak sampai RM100,000 setahun. Hendak bayar gaji Yang Dipertua pun tidak mampu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos (pentadbiran) berkenaan,” katanya.