Halaman

22 March 2013

Hubungan rakyat dan pemimpin BN Terengganu akrab

Oleh: Suriati Ali dan Esah Abdullah 

Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi di Terengganu dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada negeri ini berbanding masa lalu.



 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata hubungan rakyat dengan pemimpin setempat juga amat akrab dan rapat sekali, senario itu memberi gambaran amat baik kepada kepimpinan BN di Terengganu, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke13) nanti.



 Katanya, Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said adalah sebuah negeri amat penting kepada BN dan mempunyai kisah silamnya tersendiri.

“Saya mahu mengajak rakyat di negeri ini supaya mengimbau kembali kenangan pahit yang mereka alami sewaktu pemerintahan Pas pada tahun 1999 hingga 2004, apabila parti itu memerintah Terengganu.

 “Rakyat jangan beri undi pembangkang kerana dibimbangi menerima nasib serupa di mana kebajikan mereka terabai, tidak ada sebarang pembangunan dilakukan bagi membela nasib rakyat sepanjang pemerintahan parti itu,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Rakyat di perkarangan Masjid Kampung Petai Bubus, Teluk Pasu, Kuala Terengganu.

Hadir sama isteri, Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

Tetamu kehormat lain Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.


Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin bersama Isteri dan rombongan sempat meluangkan masa bertanya khabar melawat seorang warga emas, Tuan Kamariah Tuan Dalam, 95, yang menghidapi penyakit angin ahmar di rumahnya di kampung sama selepas selesai menunaikan solat Jumaat. 


Tan Sri Muhyiddin turut memberitahu  dia hairan kenapa ada segelintir rakyar tetap mahu sokong Pas, sedangkan sudah contoh terdekat, seperti Kelantan yang mempunyai pelbagai isu besar tidak dapat diselesaikan sehinggan kini.

“Apa pula berlaku di Kedah di mana banyak kawasan balak dicerobohi dan ditebang suka hati, akibatnya rakyat dibelenggu pelbagai masalah.

 “Melihat keadaan itu, rakyat mula meluat dengan tindakan pembangkang yang sememangnya mempunyai agenda tersendiri, termasuk mahu berkuasa dan kepentingan parti,” katanya.

 .