Halaman

17 March 2013

Pemuda yakin rakyat setia kepada BN

Oleh: Suriati Ali 

 Pergerakan Pemuda Umno Terengganu yakin rakyat negeri ini, termasuk di kawasan pembangkang akan terus setia bersama Barisan Nasional (BN) kerana mereka pernah melalui pengalaman perit di bawah pemerintahan pembangkang suatu ketika dulu.

 Ketuanya, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata penduduk tempatan tidak akan lupa pemeritahan Kerajaan Pas pimpinan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa, tetapi tidak melaksanakan apa yang termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan.

 “Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, komitmen kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang cukup prihatin dengan nasib rakyat, tentunya menyukarkan lagi tugas pembangkang pada pilihan raya umum nanti.

 Menurut beliau, pihaknya bukan mahu mendabik dada malah jauh sekali untuk bersikap angkuh, namun itulah hakikat sebenar yang mana kerajaan pimpinan BN mengambil sikap bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.

 “Dari sudut golongan muda pula, kerajaan negeri hari ini cukup mesra sama sekali. Pelbagai program dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi agensi mereka termasuklah, menerusi sayap parti turut mengambil pendekatan yang sama.

 “Dengan kata lain, golongan muda di negeri ini cukup bertuah. Begitu juga golongan lain, mereka sama sekali tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri,” katanya.

 Pergerakan Pemuda Umno negeri ini akan terus memperhebatkan gerakan dan strategi untuk mendekati golongan muda dalam usaha meyakinkan mereka terhadap BN sebagai peneraju negara.

 Beliau berkata, bagi tujuan itu, program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan kerana ia menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

 “Pelbagai program seperti Kelab Permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda akan diteliti sebaik mungkin.

 “Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.