Halaman

17 March 2013

Wanita penentu BN menang besar PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengundi wanita memainkan peranan penting untuk memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

 “Setiap kali pilihan raya kita banyak bergantung kepada wanita. Mereka merupakan perayu undi kita, mereka yang menggerakkan jentera kita semasa pilihan raya dan sebagainya.

“Kita mendapati bahawa wanita ini kalau dia sokong kita maknanya betullah (sokongan kepada BN). Hanya sebahagian kecil sahaja barang kali main `kongkalikong’ (tidak tetap pendirian), kalau orang lelaki banyak hal. Dia berlakon depan kita, tetapi belakang belum tentu. Kalau perempuan ini ada juga tetapi tidak besar jumlahnya,” katanya ketika berucap di program 1Million Women Purple Walk 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad. 

Lebih 30,000 wanita dari pelbagai agensi dan persatuan di seluruh Terengganu menyemarakkan acara berjalan kaki yang bermula dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang melibatkan jarak kira-kira dua kilometer.

Menteri Besar berkata, wanita yang kebanyakannya bertindak sebagai penggerak jentera pilihan raya berpotensi memberi imej lebih baik dan kemenangan besar kepada BN sekiranya majoriti mereka keluar mengundi pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, pelbagai strategi dilaksanakan oleh BN bagi memastikan wanita yang mewakili 52 peratus jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di seluruh Terengganu itu keluar mengundi termasuk meramaikan jentera di kalangan mereka, melantik sebagai perayu undi, memperbanyakkan program wanita termasuk menerusi Skuad Sayang.

“ Ini juga merupakan sebahagian daripada manifestasi ke arah plihan raya kita berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh golongan wanita. Malah, saya yakin bahawa sebahagian besar daripada mereka akan mengundi Barisan Nasional. Majoriti mereka memilih BN .

“Kita dapati wanita juga tinggi jumlahnya yang keluar mengundi sebab itu kita sasarkan 85 peratus keseluruhan pengundi keluar mengundi, insya-Allah BN menang besar,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad, jika kurang 70 peratus pengundi keluar membuang undi, potensi BN menang besar agak sukar berikutan golongan yang lambat dan tidak keluar mengundi adalah di kalangan penyokong kerajaan, berbanding penyokong pembangkang yang akan membuang undi walau dengan apa cara sekalipun.

Katanya, wanita juga memainkan peranan penting sebagai perayu undi untuk memastikan lebih ramai rakyat menunaikan tanggungjawab keluar mengundi pada hari pembuangan undi nanti.

 “Kita memiliki jentera kita..ketua 10, ketua lima dan sebagainya. Mereka mengetahui di mana pengundi kita berada. Sebab itu wanita kita kerahkan sebagai jentera kita untuk pastikan supaya orang di bawah jagaan mereka keluar mengundi. Setiap seorang wanita, ada 20 orang yang mereka jaga.

 “Dia tahu dan dia ada rekod orang sudah keluar atau belum mengundi. Sebab itu setiap satu jam semasa pilihan raya kita boleh periksa siapa lagi yang belum keluar mengundi, kita ada rekod,” katanya.