Halaman

22 March 2013

Manifesto Bukan Janji – Pakatan Rakyat


Oleh FAUZI MOHD 

Manifesto bukanlah satu perjanjian – demikianlah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 29 Ogos 2012 ketika mengulas tuntutan rakyat Selangor yang mahu tunggakkan air percuma berjumlah RM300 juta dilangsaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri itu.

Maksud pemimpin PR itu apa sahaja yang digariskan dalam manifesto yang dicanang PKR, DAP dan PAS bukanlah satu bentuk perjanjian yang wajib ditunaikan, sebaliknya ia satu umpan politik semata-mata untuk mengaburi mata pengundi.

Rakyat yang terkedu dengan kenyataan itu bagaimanapun tetap dengan prinsip bahawa manifesto itu merupakan satu perjanjian dan ‘keceluparan’ pemimpin PR berkenaan adalah pengkhianatan kepada pengundi.

Pengarah Strategi Umno Terengganu, Dato' Rosli Mat Hassan ketika dihubungi Teganukita turut mempersoalkan apa gunanya manifesto baru yang bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’ dilancarkan sekiranya ‘manifesto bukan janji’.

“Apa guna manifesto yang dicetak panjang lebar, dicanang ke serata negeri jika pemimpin mereka anggap ‘manifesto bukan janji’? Adakah untuk populariti atau publisiti murahan?

 “Untuk apa manifesto baru sekiranya ia bukan sesuatu yang mesti ditunaikan, tidakkah itu satu bentuk khianat kepada undi yang diberikan oleh rakyat,” soal beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun.

Tidak hairanlah perkataan manifesto dan janji diganti dengan perkataan ‘Tawaran Mega’ dalam satu perhimpunan di Kompleks PAS Pahang, Kerdau, beberapa hari selepas kenyataan Khalid Ibrahim.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hadir pada program itu telah mengumumkan Tawaran Mega 3+1 meliputi peringkat Pusat dan negeri. Sampai bila pemimpin PR mahu dipandang oleh rakyat sebagai ‘penjual temberang’ dengan manifesto-manifesto yang adakalanya penuh retorik dan tidak masuk akal.

Rakyat telah melihat keupayaan PR di Selangor, Kedah, Pulau Pinang mahupun Kelantan yang sehingga kini masih kosong dalam isu pendidikan percuma hatta anak-anak tadika atau pra-sekolah masih perlu membayar pelbagai yuran bulanan serta tahunan. Institut Pengajian Tinggi (IPT) kelolaan kerajaan negeri di Selangor dan Kedah masih tidak mampu menjadi model pendidikan percuma seperti yang dimomokkan atas pentas ceramah politik.

Di Terengganu, soal bagaimana PAS tidak mampu menunaikan janji bukanlah perkara baru kerana parti itu pernah diberi mandat oleh rakyat mentadbir negeri itu pada tahun 1999 hingga 2004.

Contohnya, janji PAS untuk memperkasakan pendidikan di Terengganu ditunaikan dengan tindakan yang ‘pelik’ seperti mengarahkan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) mengambil 38 pelajar dan dua pensyarah yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kerajaan PAS yang ‘berlakon’ di hadapan rakyat kononnya lantang dalam isu kronisme turut meluluskan 10,000 ekar Hutan Simpan Sungai Paka, Dungun kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika itu, Dato’ Hishamudin Yahaya melalui syarikat North East Plantation Sdn. Bhd. pada 15 November 2000.

Turut diluluskan Kerajaan Pas ialah tanah pertanian seluas 50 hektar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Ladang ketika itu, Dr. Sulaiman Abdullah melalui syarikat Imbasan Padu Sdn. Bhd.

Keghairahan Kerajaan PAS meluluskan kawasan balak kepada Jawatankuasa Syura Rakyat, kroni-kroni PAS termasuk kawasan balak bernilai lebih RM5 juta seluas 2,600 hektar di Merang, Setiu kepada gadis berusia 26 tahun merupakan satu perbuatan mungkir janji. Manifesto PAS Fasa 11.1 pada kempen pilihanraya umum tahun 1999 menyatakan, “Kerajaan Pas akan mengawal pembalakan dan pemuliharaan hutan dan memastikan kawasan tadahan hujan dan alam sekitar terpelihara”.

Sementara itu, Kerajaan PAS turut menyenaraikan dalam manifesto mereka bahawa EXCO atau wakil rakyat tidak akan mengambil elaun dan imbuhan daripada anak syarikat kerajaan negeri, tugas dijalankan secara sukarela. Manifesto bukan janji!

Laporan EPIC mencatatkan dengan jelas imbuhan Pengarah sepanjang tahun 2001. EXCO Kerajaan Pas, Dato’ Wan Muttalib Embong menerima bayaran sebanyak RM42,408.

Seorang lagi Pengarah yang juga Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menerima RM33,056.

Di mana prinsip dan maruah pemimpin Pakatan Rakyat dalam soal menabur dan menunai janji? Jika Khalid Ibrahim pada tahun 2012 berkata ‘manifesto bukan janji’, pemimpin PAS di Terengganu sudah lama mengamalkan prinsip yang layak disebut ‘manifesto hanya gula-gula pilihanraya, bukan untuk ditunaikan’.