Halaman

20 March 2013

Kerajaan BN kota janji, BR1M diteruskan

Menteri Besar bersama SUK Terengganu (depan) keluar daripada bilik mesyuarat exco sebelum mengadakan sidang akhbar.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mengotakan janji menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat secara berterusan termasuk pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said.

“Kerajaan Terengganu dan rakyat negeri ini mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri kerana meneruskan BR1M untuk tahun berikutnya.


“Ini menjadi tradisi kita apabila sekali kita beri, kita tidak akan berhenti dan berterusan. Sebagaimana bantuan Dana Raya (bantuan kerajaan negeri), apabila sudah diagihkan kita akan terus mengagihkannya kepada golongan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Dato’ Seri haji Ahmad berkata, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyebabkan kerajaan tidak berdepan dengan masalah bagi meneruskan bantuan itu.

“Apa yang lebih penting, keyakinan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Menteri Besar  yang juga Pengerusi BN Negeri Terengganu berkata demikian sebagai mengulas keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengumumkan kerajaan akan meneruskan BR1M sebagai inisiatif tahunan kepada rakyat yang berkelayakan, malam tadi.

 Pengumuman itu dibuat pada akhir ucapan pembentangan laporan tahunan Program Transformasi Negara 2012 yang mengandungi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Auditorium Perdana Angkasapuri.