Halaman

17 March 2013

JR-lebihkan gula dalam senyuman


Oleh; Esah Abdullah

Jentera wanita Jalinan Rakyat (JR) perlu menjaga tata susila dan sentiasa bermuka manis bila berdepan dengan pengundi dari setiap pelusuk kampung.

 “Selaku petugas JR tentu akan berdepan dengan pelbagai ragam masyarakat yang datang dari pelbagai latar belakang, jadi perlu banyak sabar dan lebihkan gula dalam senyuman,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata demikian dalam majlis Perjumpaan Wanita Ku Sayang bersama Adun Batu Rakit di Dewan Sebaguna Kampung Maras Batu Rakit petang semalam.

Hadir sama isteri beliau Hajah Nik Aini Nik Soh dan Ketua Penerangan Wanita Umno Perhubungan Terengganu yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Setiu merangkap Pengerusi Penyelaras Wanita Batu Rakit, Hajah Wan Maznah Wan Nong.

Katanya, JR perlu bekerja keras bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) serta kesinambungan masa depan generasi akan datang.

 “Masyarakat di kampung-kampung perlu mendapat penjelasan yang sewajarnya mengenai isu-isu berbangkit dan JR mempunyai ruang sangat luas mendekati golongan sasar kerana wanita dikenali dengan sikap lemah lembut,” katanya.

Katanya, pemimpin Pas dan perjuangan parti itu sudah jauh menyimpang dari landasan agama yang diuwar-uwarkan oleh pemimpin mereka terdahulu dan hari ini ramai penyokong tegar mereka bertindak keluar dan membongkarkan kepincangan pemimpinnya.

“Saya yakin wanita mampu menjadi ‘perayu’ yang baik dan mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawai BN merupakan pilihan terbaik jika mahu terus berada dalam aman dan harmoni,” katanya.

Pada majlis itu, YB Haji Khazan telah menyerahkan bahan kempen pilihanraya kepada Pengerusi Wanita di tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dun Batu Rakit.