Penjawat awam perlu membuka minda terhadap kepentingan aplikasi `Blue Ocean Strategy’ (BOS) sebagai ejen transformasi dan penambahbaikan kepada pengurusan dalam inovasi nilai di jabatan masing-masing.
Pengarah Intan Wilayah Timur, Haji Ab Rahman Che Hamad berkata BOS mewakili satu alternatif kepada proses perancangan strategik sedia ada yang melalui pembaharuan supaya lebih bersistematik serta menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan unggul.
“Dalam melaksanakan kerja, kita perlu ada perancangan kerja yang tersusun. Bukan sekadar datang jam 8 pagi dan pulang jam 5 petang setiap hari, tanpa ada perancangan dalam tempoh itu untuk menghasilkan perjalanan tugas yang tepat dan bersistematik.
“Oleh itu, setiap perkara yang kita rancang dan buah pemikiran menjadi wadah atau satu medium berguna untuk kita melaksanakan kerja seharian kita,” katanya ketika merasmikan Seminar BOS In Public Service, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Dato’ Haji Mat Razali Kassim.
Hadir sama, ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun negeri.
Haji Ab Rahman berkata, kekuatan BOS bukan sahaja mampu menyerlahkan pemikiran di luar kotak dan ruang likup sedia ada, malah melibatkan satu penggabungan daya kekuatan pemikiran dari pelbagai agensi kerajaan bagi menghasilkan produk mahupun servis yang terbaik.
“Tanpa persempadanan kerja, penggabungan kepakaran dan kekuatan itu mampu memberi satu kecemerlangan dan lonjakan baru kepada perkhidmatan awam khususnya.
“Itu sebabnya BOS dapat menggabungkan mana-mana kelebihan dari satu jabatan kepada satu jabatan lain. Contohnya, sebagaimana konflik di Lahad Datu, Sabah yang melibatkan gabungan pasukan keselamatan dan ketenteraan, pasukan Polis serta tentera yang sekurang-kurangnya menghasilkan matlamat dan kebaikan yang diingini oleh semua pihak bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, oleh sebab itu, kerajaan negeri mahupun Pusat bersungguh-sungguh mahu semua penjawat awam menyerapkan dan mengguna pakai BOS dalam budaya kerja seharian di samping mengoptimumkan kemudahan yang tersedia di jabatan masing-masing.