Halaman

19 March 2013

Penyokong Pas mula beralih angin pada PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Semakin ramai penyokong Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu cenderung memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang berdasarkan kepada sambutan yang ditunjukkan golongan itu dalam siri ceramah BN di kawasan itu kebelakangan ini.

Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin respon positif sekumpulan penyokong pembangkang itu membuktikan kebangkitan dan aliran peralihan sokongandi kalangan rakyat yang mula sedar kepincangan dalam Pas.

“Peralihan sokongan itu terbukti apabila dalam program anjuran BN seperti siri ceramah walaupun secara kecil-kecilan bukan sahaja dihadiri penyokong kerajaan, malah penyokong Pas juga sudah mula menunjukkan minat mereka.

 “Mereka sudah datang secara perlahan-lahan dan menunjukkan mereka mula membuka mata untuk menyokong BN. Malah, mereka juga semakin memahami fakta sebenar sebalik isu semasa menerusi ceramah yang kita laksanakan dari semasa ke semasa ,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Wan Hisham berkata, trend semasa memperlihatkan penghijrahan sokongan yang berlaku secara senyap mahupun terbuka itu adalah disebabkan kekuatan BN sendiri yang terbukti benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat.

Beliau turut tidak menolak majoriti daripada kira-kira 20,000 pengundi berdaftar di DUN itu akan memihak BN dan mengembalikan kerusi itu kepada kerajaan pada PRU13 nanti.

“Kita berlaku adil dalam pengagihan kebajikan walaupun menyedari mereka penyokong Pas. Berdasarkan perkembangan positif itu, kita yakin BN akan menguasai DUN Ladang semula pada PRU nanti,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja penyokong pembangkang, kira-kira 4,000 hingga 5,000 pengundi baru mendaftar juga dilihat lebih cenderung menyokong BN pada PRU13 nanti berikutan golongan itu menikmati pelbagai manfaat terutama bantuan berkonsepkan 1Malaysia.